Hari ini, kelihatan Mahkamah Persekutuan telah menolak lagi permohonan peguambela bagi Dato Sri Najib Razak, iaitu Tuan Hisyam Teh Poh Teik untuk menangguhkan pendengaran rayuan.
Adakah permohonan penangguhan kes sering atas alasan pertukaran peguam sering berlaku di Mahkamah ? Jawapan singkatnya adalah ya.
Kejadian di mana peguambela menarik diri dan digantikan oleh peguambela yang lain kerap berlaku. Pada hemah saya, ianya berlaku setiap hari di mana-mana Mahkamah di Malaysia. Firma guaman yang saya berkhidmat juga selalu mengambil-alih perbicaraan yang sedang atau belum berlangsung dari firma guaman yang lain.
Antara alasannya termasuk :
- Gagal membayar yuran guaman oleh anak guaman dan diambil alih oleh peguambela yang melakukan kerja Pro-Bono (perkhidmatan guaman percuma)
- Perselisihan faham antara peguambela dengan anak guaman
- Perkhidmatan guaman yang tidak memuaskan bagi anak guaman
- Peguambela asal sakit tenat atau meninggal dunia
- Terdapat "Conflict of Interest" setelah perbicaraan bermula, contohnya, peguambela bagi anak guaman dapati bahawa Pendakwaraya yang mendakwa adalah seorang ahli keluarga.
Lazimnya, pada pengalaman saya, Mahkamah akan membenarkan penangguhan sekiranya pertukaran peguambela berlaku, dan jarangnya menolak permohonan ini.
Mahkamah mengiktiraf bahawa terdapatnya alasan-alasan untuk menukarkan peguambela, ( melainkan jikalau pertukaran peguam berlaku terlalu kerap dalam satu kes ). Adalah adil bagi Mahkamah untuk membenarkan penangguhan untuk memastikan bahawa peguam yang baru mengambil alih mempunyai masa yang secukupnya secara munasabah untuk memperincikan kes tersebut.
Ini bermaksud, penangguhan kes atas alasan penukaran peguam adalah untuk memastikan bahawa "perbicaraan yang saksama / fair trial" terjamin.
Dalam kes SRC Dato Sri Najib Razak, pertukaran peguam hanya berlaku sekali, iaitu pada peringkat rayuan di Mahkamah Persekutuan, dan bukannya pertukaran yang berkali-kali.
Niat untuk menukarkan peguam telah diutarakan pada Januari, dimana Dato Sri Najib memohon untuk menjemput seorang Queen's Counsel ( Peguam Kanan United Kingdom ) untuk mewakili beliau dalam rayuan Mahkamah Persekutuan. Seksyen 18 LPA 1976 membenarkan individu seperti yang bertaraf Queen's Counsel untuk berbicara dalam kes-kes yang luar biasa. Namun permohonan ini juga ditolak.
Jikalau pendengaran rayuan diteruskan tanpa seorang peguambela, maka walaupun halal mengikut prosidur, tetapi tidak KELIHATAN adil.
Kes SRC Najib Razak dimulakan pendakwaan pada Julai 2018, dan kini telah memasuki peringkat rayuan akhir, iaitu 4 tahun. Perbicaraan ini telah memanggil lebih daripada 100 saksi, dan melibatkan isu-isu yang rumit, yang bukannya senang difahami.
Berbanding dengan kes profil tinggi sebelum ini, PP lwn Anwar Ibrahim, yang dimulakan pada Februari 2010 dan dimuktamadkan pada Februari 2015, dimana kesnya lebih mudah, berkenaan dengan samada "liwat" telah berlaku.
Kes profil tinggi memerlukan lebih masa untuk menjamin keadilan kepada masyarakat dan tertuduh. Terdapat pepatah perundangan "Justice delay is justice denied / Keadilan yang dilambatkan adalah keadilan yang dinafikan" . Pepatah ini disambung dengan " Justice hurried is justice burried / Keadilan yang dipercepatkan adalah keadilan yang terbenam".
Kita dapat lihat bahawa terdapat isu-isu baru muncul setelah perbicaraan bermula, termasuk surat akuan sumpah yang disumpahkan oleh suami mantan Gabenor Bank Negara, dimana beliau mengakui menerima duit daripada Jho Low, ataupun penglibatan hakim perbicaraan dalam urusan berkenaan dengan SRC sebelum dilantik sebagai hakim.
Walaupun isu-isu ini telah dibentangkan kepada Mahkamah dan ditolak, apakah kebarangkalian isu-isu sebegini bakal muncul di masa hadapan yang memihak kepada pembelaan, setelah keputusan telah dimuktamadkan?
Selain itu, berbanding dengan kes jenayah profil rendah lain yang memakan lebih masa berbanding dengan SRC dan Dato Sri Najib, mencadangkan bahawa telah bercanggah dengan "Rule of Law" dimana intipati utamanya adalah " Kesamarataan di hadapan undang-undang/ Equality before the law".
Saya setuju bahawa prosidur dan keputusan Mahkamah adalah setimpal denegan "keadilan", tetapi, berbanding dengan kes-kes jenayah lain, penolakan penangguhan pertukaran peguam, penolakan kemasukan bukti-bukti baru, jangka masa yang pendek berbanding dengan kes lain, pada hemat saya, menyebabkan "Keadilan yang tidak kelihatan terlaksana" dan bercanggah dengan intipati utama "Rule of Law" iaitu " kesamarataan di hadapan undang-undang"
-Penulis adalah seorang peguam