Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Polis siasat ucapan Presiden UMNO


PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima 12 laporan polis ke atas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berhubung ucapannya ketika Taklimat Khas Presiden di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), baru-baru ini.

Ketua Komunikasi Korporat Polis Diraja Malaysia (PDRM), Asisten Komisioner Skandaguru Anandan berkata, kes tersebut kini dikendalikan Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) D5, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Bukit Aman.

“Setakat ini sebanyak 12 laporan polis diterima dan siasatan masih dijalankan.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan Pengarah Biro Mobilisasi Parti Amanah Negara (Amanah), Mohd. Sany Hamzan membuat laporan polis terhadap Ahmad Zahid di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.


Dalam ucapannya, Ahmad Zahid didakwa secara terbuka dengan niat yang jelas mencaci, menghina dan memfitnah Badan Kehakiman Negara, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Yang di-Pertuan Agong berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Datuk Seri Najib Razak, minggu lalu.

Sabtu lalu, UMNO menganjurkan Taklimat Khas Presiden UMNO di WTCKL yang dihadiri oleh ribuan penyokong parti terbabit.

Antara intipati taklimat adalah menunjukkan solidariti ahli UMNO kepada bekas Presiden, Datuk Seri Najib Razak yang dihukum penjara selama 12 tahun selepas didapati bersalah dalam kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. 

– UTUSAN