Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

RM1 juta adalah yang terbesar pernah dikeluarkan dari akaun Armada


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, wang RM1 juta yang dinyatakan dalam pertuduhan pecah amanah terhadap Syed Saddiq Syed Abdul Rahman merupakan nilai terbesar yang pernah dikeluarkan daripada akaun milik Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Rafiq Hakim Razali berkata, wang tersebut dikeluarkan pada 6 Mac 2020 atas arahan Ahli Parlimen Muar itu yang mahukan ia `dilupuskan’ selepas pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan berhubung kehilangan wang RM250,000 daripada peti besi di rumahnya.

Rafiq yang ketika itu berjawatan Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberitahu, Syed Saddiq mengarahkan demikian kerana selaku bendahari dan pemegang amanah, beliau merupakan sasaran selanjutnya.

Ketika disoal balas oleh peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Syed Saddiq, Rafiq bersetuju tertuduh tidak pernah menghasutnya mengeluarkan wang RM1 juta daripada akaun CIMB milik Armada.

Saksi pendakwaan ke-13 itu bagaimanapun tidak bersetuju bahawa beliau berpakat secara jahat dengan Syed Saddiq mengeluarkan wang itu sebaliknya menyatakan ia arahan tertuduh.


Dalam keterangannya, Rafiq turut menyatakan wang RM1 juta itu digunakan untuk melaksanakan program-program Armada dan sayap parti Bersatu itu tidak mengalami kerugian meskipun berlaku pengurangan wang dalam akaunnya.

Menurut Rafiq, beliau tidak pernah menerima arahan untuk membentangkan perbelanjaan Armada kepada mesyuarat Exco.

Pada prosiding soal balas itu, Rafiq menyatakan beliau baharu mengetahui bahawa sebanyak RM170,000 dibelanjakan untuk kempen pilihan raya Syed Saddiq di Muar.

Wang RM170,000 untuk kegunaan kempen di Muar, saya tidak tahu kemana perginya wang tersebut. Saya cuma pindahkan ke dalam akaun beliau,” ujar saksi.

Sementara itu, pada sesi pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, Rafiq diminta menjelaskan keterangannya sebelum ini bahawa beliau `terjebak’ berhubung pengeluaran wang RM1 juta itu.

Saksi memberitahu selaku salah seorang pemegang amanah, beliau `terjebak’ kerana membuat pengeluaran tanpa memaklumkannya kepada kepimpinan tertinggi atau mengemukakan kertas kerja mengenainya.

Ujar Rafiq, beliau juga tidak mengemukakan nota keterangan atau membuat laporan polis kerana berpendapat tindakan mengeluarkan wang itu satu kesalahan pecah amanah dan khuatir akan dikesan oleh pihak polis.

Dalam keterangannya, Rafiq menafikan beliau `diajar’ oleh pihak pendakwaan untuk memberi keterangan di mahkamah pada perbicaraan tersebut.

Sebelum mahkamah selesai bersidang, Gobind memohon agar tiga pegawai penyiasat SPRM dipanggil semula untuk diperiksa balas pada tarikh perbicaraan akan datang.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid menetapkan keterangan mereka didengar selama dua hari iaitu pada 27 dan 28 September ini.

Mahkamah turut mengarahkan kedua-dua pihak memfailkan penghujahan bertulis selewat-lewatnya pada 30 September manakala penghujahan lisan didengar pada 6 dan 7 Oktober ini.

Syed Saddiq sedang dibicarakan terhadap pertuduhan pindaan bersubahat dengan Rafiq melakukan pecah amanah dana berjumlah RM1 juta sebuah parti politik dengan menyalahgunakan dana tersebut.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Tingkat Bawah, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Stesen Sentral 2, di sini pada 6 Mac 2020.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq juga didakwa atas pertuduhan pindaan menyalahgunakan harta RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Maybank Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 April sehingga 21 April 2018.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun dengan sebatan dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Syed Saddiq turut didakwa atas dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 di dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke dalam akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Kejadian itu didakwa dilakukan di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor pada 16 Jun dan 19 Jun 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613].

Beliau boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama, dan sabit kesalahan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram. 

– UTUSAN