Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

SRC: Najib sumpah mubahalah di Masjid, laknat penfitnah dan yang bersekongkol


PETALING JAYA: Bekas perdana menteri, Najib Razak, melakukan sumpah mubahalah di Masjid Kampung Baru, menjelang sambungan prosiding rayuan akhir kes sabitannya di Mahkamah Persekutuan berhubung dana SRC International berjumlah RM42 juta, malam ini.

Bekas presiden Umno itu di hadapan jemaah masjid berkenaan, membacakan teks sumpah sejurus selesai solat hajat dan doa munajat, dalam “situasi getir” berdepan bicara rayuannya, yang kembali bersambung, pada Selasa.

Antara pemimpin Umno hadir adalah setiausaha agungnya, Ahmad Maslan dan Ketua Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub.

Najib dalam ucapan ringkas, berkata beliau berharap mendapat keadilan dan kebenaran akan muncul.

“Semoga Allah SWT memudahkan dan mengampunkan segala dosa kita, saya berdiri di sini atas tujuan pertama sebagai hamba Allah saya ingin membersihkan nama saya dan memohon pertolongan pada Allah SWT,” katanya.

Berikut adalah teks ucapan sumpah mubahalah beliau:

"Bismillahhirrahmannirrahim, pada tanggal 21 Ogos 2022 dengan kesedaran yang baik, keinsafan serta kebergantungan secara mutlak kepada mu Ya-Allah serta di dalam rumahmu yang mulia ini, aku Mohd Najib bin Abd Razak setelah berusaha serta berjuang dengan sebaik mungkin untuk mendapatkan keadilan ke atas diriku di dunia ini.

"Dengan ini aku melafazkan ucapan mubahalahku. Wallahi wabillahi watallahi. Sejak aku diberikan amanah memimpin negara Malaysia ini dan sehingga ke saat ini. Pertama, aku tidak pernah pada bila-bila masa mengetahui secara khusus atau sebaliknya bahawa dana sebanyak RM42 juta itu datang dari syarikat SRC secara langsung atau tidak langsung

"Kedua, aku tidak pernah menerbitkan atau bersetuju untuk mewujudkan syarikat SRC dengan bertujuan untuk merangkup apa-apa dana SRC bagi tujuan kegunaan peribadiku atau kegunaan keluarga ku

"Ketiga, aku tidak pernah mengarah mana-mana anggota pengarah atau mana-mana pegawai SRC untuk menyelewengkan apa-apa dana syarikat SRC ke dalam akaun bank aku untuk apa-apa tujuan pun.

"Keempat, aku tidak pernah terlibat di dalam mesyurat kabinet untuk meluluskan jaminan-jaminan kerajaan bagi pinjaman KWAP sebanyak 4 billion ringgit kepada syarikat SRC untuk tujuan aku mendapatkan habuan haram sebanyak RM42 juta tersebut

"Sekiranya aku berdusta, di atas sumpah ku ini Ya-Allah maka halal lah laknatmu ke atas diri ku. Sebaliknya jika semua ini adalah fitnah yang telah dirancang oleh musuh-musuh politikku maka Ya- Allah aku memohon sesungguhnya kepada mu agar engkau melaknati mereka serta orang-orang yang bersubahat dan bersekongkol dengan mereka. Hanya kepada mu aku bermohon aku bergantung serta aku berserah"


Pada 28 Jul 2020, Mahkamah Tinggi memutuskan Najib bersalah atas pertuduhan salah guna kuasa, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah membabitkan dana SRC.

Pada 8 Dis tahun lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitannya dalam kes itu, termasuk mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Ahli Parlimen Pekan itu kini sedang berada dalam fasa terakhir rayuannya untuk mengenepikan sabitannya di Mahkamah Persekutuan.

video: