Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Tengku Zafrul dilantik jadi Pengerusi Manifesto BN Selangor


SABAK BERNAM: Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dilantik sebagai Pengerusi Manifesto Barisan Nasional (BN) Selangor bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berkuat kuasa bulan ini.

Pengerusi BN negeri, Tan Sri Noh Omar berkata, jawatan kuasa manifesto itu sudah mula mengadakan mesyuarat yang turut disertai Tengku Zafrul.

“Pelantikan itu diputuskan parti komponen sebelum ini dan berkuat kuasa awal Ogos lalu. Tengku Zafrul sentiasa bekerjasama dengan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mengetuai manifesto di peringkat BN Pusat,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Karnival Usahawan, Koperasi dan Pendidikan Parlimen Sabak Bernam di Dataran Usahawan di sini, hari ini

Jelas Noh, perkara berkaitan manifesto itu bagaimanapun akan diumumkan BN pada waktu bersesuaian.


Sementara itu, Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Rizam Ismail berkata, pelantikan Tengku Zafrul yang juga Bendahari BN negeri disifatkan tepat kerana memiliki kemampuan menilai dan memberi perkhidmatan terbaik sebagai sebuah kerajaan negeri.

“Beliau akan memberi keyakinan kepada UMNO dan BN untuk mempersembahkan manifesto terbaik yang diyakini rakyat di Selangor. Kehadiran Tengku Zafrul semestinya akan membantu kita dalam menghadapi PRU15,” katanya.

 – UTUSAN