Dr Mahathir Mohamad memfailkan saman fitnah terhadap Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi berhubung kenyataannya pada 2017 yang mempersoalkan asal usul bekas perdana menteri dan menyebut bahawa dirinya bukan orang Melayu.
Dr Mahathir, selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Haidir & Co di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur pada 20 Julai lalu dengan menamakan Zahid, sebagai defendan tunggal.
Berdasarkan pernyataan tuntutan itu , Dr Mahathir berkata defendan mengeluarkan kenyataan palsu, berbaur fitnah dan berniat jahat dengan sengaja merujuk terus kepada plaintif.
Zahid membuat kenyataan itu pada 2017 apabila, sebagai menteri dalam negeri, dia dapati kononnya kad pengenalan (IC) bekas perdana menteri tercatat namanya sebagai “Mahathir a/l Iskandar Kutty”.
"Betullah dia (Mahathir) kata kita ini mudah lupa sebab dia anak laki-laki Iskandar Kutty.
"Orang itulah yang memperjuangkan agenda Melayu untuk mempergunakan Melayu. Bila habis madu sepah dibuang. Umno ini sebagai madu dan kita adalah sepah yang dibuang," kata Zahid.
A/l adalah singkatan kepada 'anak lelaki kepada' yang biasa digunapakai kaum India di negara ini, selain mereka yang berketurunan Orang Asal. Nama Kutty ialah satu nama dalam bahasa Tamil.
Nama Melayu menggunakan gelaran 'bin' atau 'binti', suatu istilah arab yang merujuk kepada anak lelaki atau perempuan kepada seseorang.
Dalam pernyataan tuntutannya, Dr Mahathir mendakwa Zahid telah mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadapnya semasa mesyuarat Umno Bahagian di Kelana Jaya pada 30 Julai 2017 yang kenyataan itu diterbitkan semula di YouTube Astro Awani dan beberapa portal berita, termasuk Kinitv, yang boleh diakses oleh pengguna Internet tanpa sebarang sekatan.
Ahli Parlimen Langkawi itu mendakwa, kenyataan fitnah tersebut antaranya membawa maksud bahawa beliau bukan dilahirkan sebagai seorang Melayu atau Islam dengan nama asal yang didakwa sebagai ‘Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty’ dan menggunakan orang Melayu semasa menjadi Perdana Menteri untuk mendapatkan keuntungan politik dan peribadinya selain memperkecilkan rakyat Malaysia berketurunan India Muslim.
Dakwa plaintif, kenyataan fitnah itu telah menjatuhkan reputasinya sebagai ahli politik yang bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat dan memberi tanggapan bahawa plaintif seorang yang tidak jujur dan amanah, mementingkan diri sendiri, licik dan penuh tipu helah demi mencapai kepentingan peribadi.
Dr Mahathir menuntut ganti rugi am, teladan dan keterlaluan selain memohon injunksi bagi menghalang defendan atau ejen-ejennya memberi komen, mengulangi atau menyebabkan penerbitan kenyataan fitnah itu selain memohon perintah mahkamah supaya defendan menerbitkan permohonan maaf tanpa syarat secara lisan dan bertulis terhadap plaintif, kos dan relif lain yang sesuai.
Sementara itu, Zahid dalam pernyataan pembelaan difailkan pada 17 Ogos lepas menerusi Tetuan Shahrul Hamidi & Haziq, menafikan kenyataan yang dibuat pada 30 Julai 2017 adalah berniat jahat untuk memfitnah dan merendahkan reputasi plaintif di khalayak umum.
Dakwa Presiden Umno itu, nama “Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty” merujuk kepada seorang individu berdasarkan maklumat dalam salinan kad pengenalan yang lama selain mendakwa beliau juga tidak mempunyai kawalan ke atas sebarang penerbitan video berhubung kenyataannya di platform media.
Peguam Mior Nor Haidir Suhaimi yang mewakili Dr Mahathir ketika dihubungi Bernama hari ini memaklumkan, pada prosiding di hadapan Timbalan Pendaftar Nor Afidah Idris secara e-Review, mahkamah menetapkan 13 Sept ini untuk pengurusan kes selanjutnya.
“Plaintif juga perlu memfailkan jawapan kepada pernyataan pembelaan defendan sebelum atau pada 8 Sept ini,” kata peguam itu.
-Mkini