Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi hari ini dilaporkan menegaskan pihaknya akan melakukan pembersihan 'musuh dalaman' gabungan itu dan Umno.
“Kita tahu kalau ada musuh di luar parti kita, itu kita kenal pasti dengan mudah.
“Kalau ada duri dalam daging, gunting dalam lipatan, kita kenal. Sekilas ikan di air, kita kenal jantan dan betinanya.
“Tidak lama, saya ulangi, tidak lama. Sesuatu mesti dilakukan untuk membersihkan. Kita harus melakukan pembersihan dari dalam,” katanya.
“Kita tidak mahu ada musang dalam reban ayam. Musang perlu dikeluarkan.
“Kita tidak mahu ada bangkai tikus dalam telaga kita. Telaga yang ada bangkai tikus airnya tidak boleh diminum,” tegasnya seperti dipetik Sinar Harian.
Presiden Umno itu berkata demikian ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Parti Makkal Sakti Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Bagaimanapun, Ahmad Zahid tidak menyebut nama atau menjelaskan lanjut siapa “gunting dalam lipatan” yang dimaksudkannya itu.
Dalam pada itu, Sinar Harian juga melaporkan Ahmad Zahid menggesa BN meminda perlembagaannya yang “lapuk” dan menghapuskan klausa yang memberi kuasa veto kepada parti komponen untuk menentukan permohonan parti baru.
"Yang akan menyertai tujuh parti tidak boleh masuk kerana Perlembagaan BN mengikat mereka daripada masuk.
“Kerana syaratnya jika ada satu parti menolak mana-mana parti yang (mahu) masuk, maka itu tidak boleh dilakukan.
“Perlembagaan BN perlu dirombak semula,” katanya.
“Orang mahu berkawan dan orang mahu menyertai kenapa perlu ditolak,” soalnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Zahid memberi jaminan parti-parti mesra BN akan diberikan kerusi untuk ditandingi pada PRU15 akan datang.
Zahid memberi maklum balas terhadap permintaan Presiden Makkal Sakti R S Thanenthiran mengenai hasrat partinya bertanding dalam pilihan raya umum akan datang.
Anak bekas perdana menteri Najib Razak, Nooryana Najwa dan Mohd Nizar (gambar, bawah) turut kelihatan hadir majlis Parti Makkal Sakti hari ini.
-SinarHarian