Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

'Kehilangan wang projek LCS lagi besar dari isu siapa Zainab' -Rafizi



PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR ,Rafizi Ramli berkata, isu ‘kehilangan’ wang projek tender kapal projek kapal tempur pesisir (LCS) dianggarkan berbilion ringgit lebih penting berbanding identiti Zainab Mohd. Salleh yang didakwa isteri kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad. 

Justeru, beliau menggesa pihak berkuasa menjalankan siasatan susulan satu laporan polis dibuat Ahli Parlimen Johor Bahru, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir berhubung dakwaan salah guna kuasa melibatkan perolehan kapal tempur LCS.

Katanya, dakwaan yang dibuat bukan berdasarkan khabar angin sebaliknya dokumen laporan audit yang melalui Kabinet.

“Saya menghormati pihak berkuasa perlu menjalankan tugas mereka namun saya harap satu lagi laporan dibuat Akmal Nasrullah dapat dipercepat siasatan. 

“Pihak berkuasa kena imbangi sementara laporan mahu mengecilkan isu ini sama ada Zainab isteri dia (Abd. Latiff) berbanding isu rakyat yang lagi besar iaitu berbilion ringgit wang telah disakau sehingga projek kapal perang kita tergendala,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Terdahulu, beliau hadir di IPD Polis Sentul kira-kira pukul 3 petang untuk diambil keterangan susulan dakwaan fitnah berkaitan pendedahannya berhubung projek LCS.

Malah, menurut Rafizi, isu identiti Zainab bakal terjawab jika pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan berhubung isu tersebut. 

Dakwa beliau, pihaknya membuat kajian dan latar belakang secukupnya mengenai kehilangan wang projek LCS sehingga mengaitkan kepada sebuah syarikat yang dimiliki Zainab.

“Kita telah melalui proses ini sama seperti kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn. Bhd. 

“Pada mulanya mereka menafikan namun apabila SPRM dan PDRM menyiasat dengan bidang kuasa yang ada sehingga dapat menjejaki wang sebagainya dan soal Zainal akan terjawab sendiri,” katanya. 

Kelmarin, Abd Latiff mengesahkan telah diambil keterangan oleh polis. 


Ini susulan laporan polis dibuat oleh Pegawai Tugas-Tugas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Sayed Ahmad Mui’izzuddin Al-Sayed Mohamad terhadap Rafizi.

Sebelum ini,  media melaporkan Rafizi mendakwa, syarikat palsu yang menjadi syarikat pembekal alat ganti dalam projek pembinaan LCS adalah milik keluarga bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Abd. Latiff.

Rafizi mendakwa, siasatan dalaman skandal LCS dan semakan susulan dilakukannya mendapati syarikat pembekal itu dimiliki isteri Abd. Latiff.

Rafizi mendakwa, laporan siasatan dalaman projek LCS pada muka surat 96, perenggan 3.16.13.2 juga secara jelas menyebut wanita itu adalah isteri kepada Abd. Latiff. 

– UTUSAN