SHAH ALAM - Bekas wartawan, Tan Sri Khalid Yunus mengesahkan foto tular melibatkan individu yang menurunkan simbol pancasila dari anjung bangunan kedutaan Indonesia dan diganti dengan bendera Malaysia adalah beliau bersama bekas Presiden MIC, Tun S Samy Vellu.
Gambar tersebut kembali mendapat perhatian netizen susulan kematian bekas Menteri Kerja Raya tersebut, yang meninggal dunia pada Khamis.
Mengimbas peristiwa pada tahun 1963 itu, Khalid berkata, insiden itu bermula ketika beliau ditugaskan untuk membuat liputan berhubung perhimpunan tunjuk perasaan di bangunan kedutaan Indonesia di Ampang, Kuala Lumpur susulan rakyat Indonesia membakar kedutaan Malaya di Medan, Indonesia.
“Sampai di situ, penunjuk-penunjuk perasaan ini nak masuk kawasan (bangunan kedutaan) itu tetapi polis tidak bagi. Jadi suasana di situ sangat kecoh.
“Suasana (tunjuk perasaan) ketika itu memang membangkitkan kemarahan semua orang, jadi tidak tahu macam mana saya pun panjat bangunan kedutaan itu.
Tun Samy Vellu (kiri), Tan Sri Khalid Yunus (kanan) |
“Bila panjat itu, ada seorang lelaki India (Samy) yang panjat sama-sama. Pada masa itu, saya tidak kenal dia,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Ulas beliau, perjumpaan kali pertama antara beliau dan Samy pada ketika itu adalah secara kebetulan sahaja dan mereka berjumpa semula apabila masing-masing mula terlibat dalam bidang politik.
Selain itu, Khalid yang juga bekas Ahli Parlimen Jempol berkata, mereka juga mengheret bendera simbol pancasila itu menaiki skuter ke kediaman bekas Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj di Jalan Datuk Onn, Kuala Lumpur.
“Sampai di kediaman Tunku Abdul Rahman, kita panggil beliau keluar. Kita jerit minta beliau pijak bendera (pancasila), beliau tidak mahu pijak.
“Jadi kita angkat Tunku, dan letak terus atas bendera itu. Masa itu, saya nampak beliau sedih dan saya ingat lagi Tunku cakap ‘awatlah hang buat aku macam ini’,” ujarnya.
-Sinar