KETUA Pembangkang Anwar Ibrahim berikrar manifesto PRU15 akan disusun dengan lebih teliti.
Dalam temu bual eksklusif bersama Malaysiakini, presiden PKR itu berpendirian manifesto hanya memberikan komitmen yang jelas mengenai isu yang mampu ditangani oleh gabungan itu, sekiranya ia menawan semula Putrajaya.
“Malangnya manifesto (sebelum ini) memang menjadi satu isu... tetapi pendirian saya adalah untuk memberikan komitmen yang jelas mengenai isu-isu yang kita mampu selesaikan.
“Jangan buat terlalu banyak janji. Saya akan melakukan yang terbaik untuk memastikan tadbir urus yang baik. Saya tidak boleh menjanjikan langit, dan saya rasa itu jujur,” katanya.
Pada tahun 2018, Pakatan Harapan melancarkan manifesto pilihan raya setebal 138 muka surat yang bercita-cita tinggi, antaranya berusaha menangani peningkatan kos sara hidup, tuntutan beberapa komuniti dan mengurangkan kuasa perdana menteri.
Bagaimanapun, sebelum keruntuhan kerajaan PH pada 2020 selepas memegang jawatan selama 22 bulan, perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad memberi alasan gabungan itu kesuntukan masa untuk menunaikan janji manifesto yang dibuat dengan tidak menjangkakan gabungan itu betul-betul akan menang.
Anwar berkata pada tahap peribadi, dia sedang merangka manifesto PH - melalui penglibatan dengan sarjana dan maklum balas daripada rakan-rakan. Gagasan itu, katanya, termasuk catitannya semasa di penjara.
Dia mengakui PH menerima kelemahan mereka sendiri, tetapi berkata pada akhirnya PH komited untuk berusaha menyelamatkan negara.
-Malaysiakini