Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Najib kembali sihat, dibenarkan discaj dari HKL


Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah hari ini mengesahkan bahawa bekas perdana menteri, Najib Razak dalam keadaan sihat dan telah dibenarkan keluar daripada Hospital Kuala Lumpur (HKL) setelah datang mendapatkan rawatan petang tadi.

Menurutnya menerusi satu kenyataan media, pemeriksaan dan ujian berkaitan telah dijalankan oleh pakar-pakar perunding kanan bertauliah yang terdiri daripada ketua-ketua perkhidmatan klinikal bagi bidang masing-masing.

“Najib telah dimasukkan ke HKL pada hari ini sebagai kes elektif (bukan kecemasan) untuk memastikan kesihatan beliau berada pada tahap yang baik dan optimum.


“Keadaan beliau juga sihat sebelum dibenarkan discaj daripada HKL,” katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, HKL juga telah mengadakan sidang keluarga sebanyak dua kali yang telah dihadiri oleh bekas perdana menteri itu dan ahli keluarganya dan mereka telah dimaklumkan mengenai keputusan sebulat suara pakar-pakar perunding agar dia dibenarkan keluar.

“Dimaklumkan juga bahawa jenis-jenis ubat yang dipreskrib semasa kemasukan wad adalah yang sama jenisnya dan dalam senarai ubatan KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia).

“KKM komited dan telus dalam pemberian perkhidmatan kesihatan kepada mana-mana individu, namun pada masa yang sama mempunyai tanggungjawab mematuhi tata etika kerahsiaan pesakit di bawah Akta Perubatan 1971 (Pindaan 2012).

“Sebarang maklumat terperinci mengenai kesihatan seseorang pesakit boleh dikemukakan kepada mahkamah sekiranya diarahkan mahkamah,” katanya.

Pagi tadi, semasa prosiding kes Najib bagi pertuduhan menyeleweng RM2.3 bilion dana 1MDB, Timbalan Pendakwa Raya Kanan Gopal Sri Ram memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa dia telah dimaklumkan oleh pegawai Jabatan Penjara Kajang mengenai keadaan Najib yang ‘agak teruk’.

Katanya, perbicaraan hari ini terpaksa disingkatkan kerana dia diberitahu bekas perdana menteri itu memerlukan rawatan perubatan setelah ubat darah tingginya memberinya kesan buruk.

Hakim Collin Lawrence Sequerah kemudian bersetuju untuk menangguhkan perbicaraan pada pukul 12.30 tengah hari bagi membolehkan Najib mendapatkan rawatan perubatan.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah yang sama.

Pada 23 Ogos, Najib dihantar ke penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadapnya kerana menyalahgunakan dana SRC International berjumlah RM42 juta




-MalaysiaKini