SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi atau Pak Lah kini menderita penyakit demensia yang menyebabkan kesihatannya semakin merosot dan sukar untuk mengingati sesiapa, termasuk ahli keluarga terdekat.
Perkara itu didedahkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang juga menantunya tentang perkembangan negarawan berkenaan.
Menurutnya, adalah sesuatu yang mencabar untuk ahli keluarga melihat situasi Pak Lah yang berdepan dengan kemerosotan dalam fungsi kognitifnya.
“Ada yang sedar tetapi ramai yang tidak. Keluarga telah memutuskan untuk berkongsi perkara ini secara terbuka sebahagiannya untuk memberi penerangan tentang demensia dan kecacatan kognitif,” katanya dalam satu ciapan di Twitter pada Ahad.
Terdahulu, Astro Awani melaporkan tubuh badan Pak Lah yang kini berusia 82 tahun tidak berfungsi seperti sedia kala dan telah sampai ke tahap tubuhnya ada, tetapi bukan mindanya.
Khairy berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Konferens Perubatan Psikologi Malaysia 2022 di ibu negara pada Ahad.
Jelas beliau, sejak bersara pada tahun 2009 dengan terhormat, Pak Lah tidak kelihatan di mana-mana kerana mempunyai demensia.
“Demensia itu satu situasi yang sangat kejam kerana tubuhnya ada, mindanya tiada. Saya lihat bapa mentua saya merosot ke tahap beliau tidak lagi berfungsi secara normal. Beliau tidak ingat nama saya, tidak ingat nama isteri saya.
“Keluarga saya mungkin mampu mendapatkan sokongan perubatan profesional untuk Pak Lah, tetapi situasi yang sama mungkin tidak dapat diperolehi atau diakses oleh sebahagian besar keluarga pesakit dementia di negara ini,” katanya yang turut melancarkan Garis Panduan Klinikal untuk Pengurusan Demensia (Edisi Ketiga) dan Pengurusan Skizofrenia (Edisi Kedua) pada majlis itu.
Pada masa sama, beliau menjelaskan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang merangka Kertas Putih Kesihatan yang turut merangkumi usaha pemerkasaan dan pelaburan bagi memastikan dalam komuniti mendapat akses penjagaan di rumah.
“Ini mungkin permulaan bagi rakyat Malaysia, yang telah menderita akibat keadaan ini. Saya berharap, dalam proses mendraf kertas putih dan pada sama proses menstruktur bajet (2023) KKM, kami dapat menzahirkan kes yang kukuh supaya sektor penjagaan kesihatan mendapat lebih banyak dana.
“Ia adalah sesuatu yang amat penting supaya petugas kesihatan dapat bersama-sama dengan petugas sosial. Supaya kita semua berada dalam pemahaman yang sama,” ujar beliau.
-SinarHarian