Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

PDRM tak pernah henti jejaki Jho Low


 PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak pernah berhenti menjejaki ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low yang didakwa turut terbabit dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Memberitahu Utusan Malaysia, sumber keselamatan berkata, pihak PDRM masih berusaha mengesan penjenayah berusia 41 tahun itu yang kini ‘hilang dari radar’ sejak 2018.

“Lokasi terbaharu Jho Low tidak dapat diketahui. PDRM telah memohon notis merah Polis Antarabangsa (Interpol) bagi membantu mengesan Jho Low dan rakan subahatnya yang disyaki terlibat dengan 1MDB.

“Jho Low dan beberapa individu lain berada dalam senarai yang hanya boleh diakses oleh pihak keselamatan kerana Ibu pejabat Interpol yang menentukan sama ada notis merah yang dikeluarkan bagi paparan umum atau tatapan agensi penguatkuasaan sahaja. Ini bergantung kepada tahap keseriusan dan ancaman kepada awam,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Berdasarkan tinjauan dalam laman web rasmi Interpol, ha­nya empat warga Malaysia dalam senarai notis merah Interpol iaitu Umar Sirul Azhar, 51; Koh Ing Kueh, 47; Tan Lok Seng, 54 dan Loo Soon Aik, 41.

Jelas sumber, jika ada pihak mendakwa melihat kelibat Jho Low, perlu melaporkan pada PDRM atau pihak berkuasa mana-mana negara agar lelaki itu dapat diberkas dan diheret ke muka pengadilan

Kelmarin, Menteri Dalam Ne­geri, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempersoalkan individu yang mendakwa melihat kelibat ahli perniagaan berkenaan di taman tema Disneyland, Shanghai.

Ini susulan pendedahan penulis bersama buku Billion Dollar Whale: The Man Who Fooled Wall Street, Hollywood, and the World, Bradley Hope menerusi episod pertama program ‘Di Mana Jho Low’ yang disiarkan di aplikasi YouTube bermula kelmarin.

Hope bersama penulis Tom Wright turut berkongsi sekeping gambar memaparkan Jho Low bersama dua individu tidak dikenali di sebuah restoran di Dis­neyland, Shanghai yang dikatakan diambil pada malam Krismas 2019.

Rakaman wajah yang dilihat mirip Jho Low itu didakwa dite­rimanya daripada sumber boleh dipercayai.

Hamzah dilaporkan berkata, sebarang maklumat berhubung keberadaan ahli perniagaan itu sepatutnya dimaklumkan kepada penguat kuasa di negara ini.

Wright dan Hope yang me­lancarkan kempen untuk membongkar lebih lanjut mengenai Jho Low membuat dakwaan itu selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dipenjarakan pada 23 Ogos lalu.

Kedua-duanya mendakwa bahawa Jho Low mungkin ditahan di China kerana berisiko membocorkan maklumat memalukan mengenai pembabitan China dalam projek pada era Najib di Malaysia.

Pada 5 Ogos 2020, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mendedahkan dalang utama 1MDB dipercayai berada di China.

Selain itu, Nik Faisal Ariff Kamil, dipercayai berada di Hong Kong manakala Jasmine Loo dipercayai berada di Shenzhen, China.

Bagaimanapun, China berulang kali menafikan dakwaan bahawa mereka melindungi Jho Low. 

– UTUSAN