KANGAR: Rakyat Perlis perlu memberi peluang kepada PKR dan Pakatan Harapan (PH) mentadbir negeri ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi membawa negeri ke arah masa depan lebih baik.
Justeru, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar menyeru kepada pengundi agar memilih calon-calon yang diketengahkan gabungan itu dalam pilihan raya berkenaan.
Katanya, rakyat diminta memberi peluang sekurang-kurangnya satu penggal kepada gabungan tersebut mentadbir negeri ini.
“Kita akan memastikan satu penggal itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk melindungi golongan B40 dan mengenal pasti orang berbakat untuk mentadbir negeri ke arah lebih baik. Jadi orang Perlis wajib bantu PKR untuk membina masa depan yang lebih baik,” katanya dalam ceramah rapat rakyat di Kuala Perlis di sini malam tadi.
PKR menguasai tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Indera Kayangan, Kuala Perlis dan Sena selain Parlimen Kangar yang dimenangi buat pertama kalinya dalam sejarah dalam PRU14.
Sebelum ini, PKR negeri menyasarkan bertanding lebih daripada lapan kerusi DUN dalam PRU15 dan yakin mampu merampas negeri ini daripada Barisan Nasional (BN).
Seterusnya Nurul Izzah menyeru anak muda agar berani mengambil langkah mengubah perkara tidak betul dan perlu menukar kerajaan yang selesa setelah lama memerintah.
“Di Perlis, terdapat tapak sekolah sukan lambat disiapkan, ada juga pembinaan rumah bantuan yang gagal disiapkan mengikut jadual menyebabkan rakyat gagal mendapat manfaat.
“Selain itu, saya diberitahu cukai tanah di Perlis meningkat selain terdapat isu lesen pendudukan sementara (TOL) selepas pandemik Covid-19 yang sepatutnya tidak boleh membelenggu rakyat di negeri ini,” jelasnya.
Tambahnya, PKR juga melihat pentingnya peningkatan kemahiran pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET) yang perlu diperkasa untuk peningkatan kerjaya pekerja sektor berkaitan terutamanya golongan muda B40 sekali gus meningkatkan taraf hidup mereka.
– UTUSAN