Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Tarikh PRU15 akan ditentukan Top 5 UMNO -Ismail Sabri


GEORGE TOWN: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menolak kemungkinan perjumpaan bersama lima pemimpin tertinggi UMNO (Top 5) bagi membincangkan tarikh Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan diadakan sebelum pembentangan Bajet 2023.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, sebarang keputusan berhubung tarikh PRU15 itu hanya akan diputuskan dalam perbincangan bersama Top 5 UMNO berkenaan.

“Seperti yang saya jelaskan sebelum ini, sebarang keputusan (tarikh PRU15) hanya akan dibuat oleh Top 5 UMNO,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Ismail Sabri menjawab soalan sama ada masih ada masa yang sesuai untuk PRU15 diadakan tahun ini seperti yang dijangkakan banyak pihak.

Dalam pada itu, ditanya sama ada beliau sendiri akan membentangkan Bajet 2023 kelak, Ismail Sabri menjawab: “Tunggu sahaja 7 Oktober ini (hari pembentangan Bajet 2023)”.

Sebelum ini Ismail Sabri dilaporkan mungkin mempertimbangkan membentangkan Bajet 2023 di Dewan Rakyat pada 7 Oktober ini sekiranya dibenarkan berbuat demikian mengikut sistem Perlembagaan negara.

Perkara itu berbeza mengikut kebiasaan Dewan Rakyat sebelum ini yang mana Menteri Kewangan perlu membuat pembentangan berkenaan termasuk Bajet 2022 yang dibuat Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Sementara itu kepada soalan berkenaan keadaan kesihatan bekas Datuk Seri Najib Tun Razak yang mungkin akan dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN), Ismail Sabri berkata, beliau akan terus memantau situasi bekas Perdana Menteri berkenaan.

Malah jelasnya, beliau juga telah mengarahkan Kementerian Kesihatan memberikan sebarang rawatan yang diperlukan oleh Najib termasuk membuat keputusan sama ada perlu dimasukkan ke IJN. 

– UTUSAN