Timbalan Pendakwa Raya sendiri minta tangguh perbicaraan untuk Najib terima rawatan, dedah Khairy
Labels:
Politik
Najib Razak dipindahkan ke Hospital Rehabilitasi Cheras di Kuala Lumpur kerana memerlukan fisioterapi, menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Khairy menegaskan bekas perdana menteri itu, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun kerana rasuah, tidak diberikan layanan istimewa.
Bagaimanapun, menteri itu tidak memberikan butiran mengenai penyakit Najib.
Khairy turut mendedahkan bahawa dia telah mengarahkan Hospital Kuala Lumpur (HKL) menjalankan siasatan terhadap ciapan Twitter yang didakwa dibuat oleh salah seorang doktor yang merawat Najib dan mendedahkan maklumat mengenainya.
"Tiada layanan istimewa. Terdapat permintaan oleh timbalan pendakwa raya supaya prosiding ditangguhkan supaya Najib boleh menerima rawatan perubatan yang diperlukan.
“Berikutan itu, dia dirujuk ke HKL di mana dia dirawat untuk keadaan kesihatannya dan dia menjalani beberapa ujian.
“Sekarang susulan itu, dia dirujuk ke Hospital Rehabilitasi Cheras kerana rawatan susulan yang memerlukan fisioterapi.
"Dan sebahagian daripada itu sudah tentu untuk mengajarnya bagaimana untuk melakukannya sendiri, kerana dia akan dibenarkan keluar sebaik sahaja pakar berpuas hati bahawa dia tidak lagi perlu masuk wad," katanya pada sidang media petang ini.
Khairy berkata Najib akan dihantar pulang ke Penjara Kajang sebaik saja pakar berpuas hati dengan keadaannya.
“Saya tidak boleh menjawab bila, kerana itu akan mengganggu proses. Terpulang kepada pakar,” tambahnya.
Khairy berkata akses Najib kepada kemudahan perubatan adalah selaras dengan prosedur operasi standard kementerian, di mana layanan sama turut diberikan kepada banduan lain yang memerlukannya.
Pagi ini, Jabatan Penjara dalam satu kenyataan mengesahkan khabar angin bahawa Najib telah dihantar ke HRC untuk rawatan, dan berkata ia dilakukan selaras dengan Akta Penjara dan Peraturan Minimum Standard Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Rawatan Penjara (Peraturan Mandela).
Khairy berkata dia bagaimanapun tidak dapat mendedahkan butiran mengenai keadaan kesihatan Najib kerana protokol privasi pesakit KKM.
"Kita melaksanakan ini supaya tidak ada pertikaian daripada mana-mana pihak, daripada pihak keluarga Najib, malah Najib sendiri, bahawa tidak ada rawatan yang diberikan kepada beliau.
"Jadi kita telah menyediakan semua rawatan yang diperlukan dan semua pemeriksaan yang diminta," katanya.
Menurutnya, pakar perubatan akan mengadakan persidangan dengan Najib dan keluarga dalam masa terdekat bagi menjelaskan keadaan dan pelan rawatannya, selepas itu dia akan dihantar semula ke Penjara Kajang.
-MALAYSIAKINI