Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan sejumlah lapan individu yang dikaitkan dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), berhubung siasatan terhadap Pelan Induk Saliran Lestari Shah Alam (SASUD), lapor Berita Harian.
SPRM semalam menahan tiga lagi pegawai MBSA, menjadikan jumlah keseluruhan pegawai yang direman kepada tujuh individu. Difahamkan, individu kelapan yang ditahan adalah seorang kontraktor.
Pegawai yang ditahan termasuk dua jurutera, seorang penolong jurutera dan seorang penolong pentadbir.
Salah seorang jurutera dipercayai ditugaskan untuk menyediakan dokumen berkaitan dan senarai kontraktor bagi projek tebatan banjir itu.
Dilaporkan, SPRM telah mengenal pasti 68 syarikat yang dipercayai berada dalam senarai itu, yang didakwa ditawarkan tender untuk projek berkenaan.
Datuk Bandar Shah Alam, Zamani Ahmad Mansor semalam mengesahkan serbuan SPRM di pejabat MBSA Isnin lalu.
Pengarah Kanan Penyiasatan SPRM Hishamuddin Hashim juga memberitahu Malaysiakini bahawa tiga individu ditahan berikutan serbuan awal, dan ketiga-tiga individu terbabit kini direman selama tujuh hari.
-Malaysiakini