Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Ahli kena penampar, UMNO Jempol buat laporan polis

 

JEMPOL: Pemuda UMNO Jempol kecewa dengan tindakan pegawai kepada seorang pemimpin bahagian itu yang didakwa menampar seorang ahli pagi tadi.

Berikutan itu pergerakan membuat laporan di Balai Polis Bahau pada jam 3.49 petang tadi.

Ketua Pemuda Jempol merangkap Ketua Pemuda Negeri Sembilan, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir, berkata tindakan samseng itu dipercayai dilakukan selepas tidak berpuas hati dengan ucapan ahli berkenaan pada Persidangan UMNO Bahagian Jempol.

Beliau berkata ketika UMNO berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), pergerakan menolak politik samseng seperti ditunjukkan pegawai berkenaan.


"Kami mendesak pegawai itu dipecat serta merta dan perlu meletakkan jawatan disandang dalam jawatankuasa bahagian.

"Berstatus pegawai kepada pemimpin bahagian sudah semestinya tindak tanduk akan memberi cerminan tidak baik di mata pengundi di kawasan ini," katanya dalam kenyataan.

Mohd Zaidy berkata Pemuda UMNO Jempol ingin memberi jaminan akan sentiasa mempertahankan kebebasan bersuara ahli akar umbi dan sama sekali menolak politik samseng seperti itu.

Jelasnya Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan sentiasa terbuka serta menerima apa sahaja pandangan ahli akar umbi asalkan ia adalah demi kepentingan UMNO secara keseluruhannya.

Katanya, sifat terbuka pemimpin nombor satu dan dua UMNO itu wajar dijadikan contoh kerana mereka tidak pernah menekan ahli parti sebaliknya sentiasa menggalakkan ahli akar umbi untuk bersuara serta memberi apa jua pandangan untuk parti.

"Oleh itu, teruslah bersuara kerana UMNO adalah sebuah parti keramat yang ditubuhkan melalui suara rakyat secara keseluruhannya.

"Sama-samalah kita menolak sesiapa sahaja di dalam parti yang mendukung amalan politik tidak matang seperti ini demi memastikan UMNO terus kekal menjadi pilihan rakyat dari dulu, kini dan selamanya," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook mengesahkan laporan dibuat mangsa dan kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

-BHonline