Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

'Datuk Seri' menyamar Pengarah Kewangan KDN kena lokap


KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang wanita bergelar 'Datuk Seri' yang menyamar sebagai penjawat awam dengan mendakwa dirinya dilantik sebagai Pengarah Bahagian Kewangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang videonya tular di media sosial, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof, berkata tangkapan dibuat ekoran laporan polis diterima daripada Setiausaha Bahagian KDN, semalam.

Menurut beliau, pengadu ketika berada di Conesion Residence Resort City, Putrajaya menerima mesej melalui aplikasi daripada kumpulan 'Pegawai KDN' berhubung satu pautan video di Facebook (FB) dimuat naik di FB Pseudoscience Watch pada Isnin lalu.

"Pengadu yang berusia 52 tahun itu membuka pautan itu dan melihat satu rakaman video memaparkan seorang wanita yang mendakwa dirinya dilantik sebagai Pengarah Kewangan KDN.

"Di dalam mesej itu juga mengandungi tangkap layar laman sesawang KDN yang sudah diubah suai dengan menyatakan penama 'Dato Sri Siti Nur Atiqah Baba' sebagai Pengarah Bahagian Kewangan KDN," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Tambah beliau, pengadu kemudian membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya untuk menafikan dakwaan wanita dalam rakaman video terbabit kerana KDN tidak pernah melantik mana-mana individu secara langsung sebagai Pengarah Bahagian Kewangan KDN dan jawatan itu tidak pernah wujud.

"Hasil semakan polis ke atas pautan video itu mendapati terdapat satu rakaman video yang berdurasi satu minit 40 saat yang mendakwa bahawa dirinya dilantik sebagai Pengarah Bahagian Kewangan KDN.

"Semakan juga mendapati rakaman berkenaan dimuat naik kira-kira 21 jam yang lalu dan menerima kira-kira 1,000 komen serta ditonton sebanyak 50,600 tontonan," katanya.

Wan Kamarul berkata tangkapan ke atas suspek berusia 33 tahun itu dilakukan sepasukan anggota dari IPD Klang Utara untuk siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu.

Katanya, suspek direman tiga hari mulai hari ini hingga 7 Oktober ini untuk membantu siasatan," katanya.