KULIM - Helah dua wanita memberitahu suami mahu mengikuti kelas memandu akhirnya terbongkar setelah ditahan penguat kuasa agama di sebuah inap desa di Lunas di sini pada Sabtu.
Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Shariffudin Mat Saad berkata, kedua-dua tangkapan tersebut dibuat melalui pemeriksaan hasil aduan awam pada jam lebih kurang 11.30 pagi membabitkan dua wanita tempatan dan dua lelaki Bangladesh.
Menurutnya, tangkapan pertama membabitkan wanita berusia 38 tahun yang juga merupakan ibu kepada empat anak yang ditahan bersama lelaki Bangladesh berusia 35 tahun.
"Pasangan ini dikatakan bekerja di tempat sama iaitu di sebuah kilang, hasil temu bual mendapati wanita itu telah berkahwin di mana usia perkahwinan mencecah 18 tahun.
"Dia memberitahu suami mahu pergi ambil lesen dengan ditemani seorang kawan perempuan yang turut ditangkap khalwat dengan pasangan dari Bangladesh," katanya.
Mengulas lanjut, tangkapan kedua melibatkan rakan wanita terbabit berusia 28 tahun yang juga berstatus isteri orang ditahan di bilik berasingan bersama lelaki Bangladesh berusia 37 tahun.
"Wanita itu dikatakan telah berkahwin sejak tujuh tahun lalu namun belum dikurniakan anak.
"Difahamkan, wanita itu telah berkenalan dengan pasangannya iaitu warga Bangladesh melalui aplikasi WeChat sejak seminggu lalu," katanya.
Mereka disiasat mengikut Seksyen 25(a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat.
-Sinar