BATU PAHAT: Penolakan gabungan parti lain untuk tidak bekerjasama dengan Gerakan Tanah Air (GTA) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah berkemungkinan sudah mempunyai senarai agihan kerusi yang sudah ditetapkan.
Timbalan Pengerusi GTA, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata sekiranya penggabungan dilakukan di saat akhir akan menyebabkan satu rombakan pembahagian kerusi.
"Perkara itu akan merumitkan dan dibimbangi juga berlaku pertembungan di Parlimen yang sama.
"Bagaimanapun, semua gabungan parti iaitu GTA, Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) mempunyai satu misi yang sama iaitu bertanding untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN)," katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Pelancaran Jentera PRU15 GTA Negeri Johor di The Summit Batu Pahat hari ini.
Mukhriz yang juga bekas Menteri Besar Kedah berkata, GTA menyasarkan bertanding di 17 daripada 26 kerusi Parlimen di Johor dan sudah mengenal pasti 17 daripadanya membabitkan penempatan majoriti Melayu.
"Parlimen yang mempunyai penempatan seperti itu akan menjadi tumpuan selaras dengan perjuangan parti.
"Bagaimanapun, senarai calon akan dimuktamadkan esok sebelum diumumkan secara rasmi pada 2 November ini," katanya.
Beliau berkata, kepemimpinan parti berharap dengan jumlah yang banyak bertanding di Johor akan dapat menyumbang kemenangan daripada 120 Parlimen GTA bertanding di seluruh negara.
"Tentunya GTA serius dalam menawarkan calon-calon dan kita masuk dalam pilihan raya bukan untuk berseronok sahaja.
"Kita tahu kita berhadapan dengan saingan yang sangat sengit dan datangnya daripada parti-parti yang sudah lama bertapak di Johor ini, contohnya UMNO," katanya.
-BHOnline