Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Pelajar jual Peranti Siswa dikesan, tindakan tegas akan diambil -Menteri


PUTRAJAYA - Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa hari ini yang mengesahkan berlakunya kes penjualan semula peranti siswa diperolehi di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia, berkata tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu yang melakukannya.

Setakat ini, katanya terdapat 14 kes penjualan semula PerantiSiswa yang dikesan di seluruh negara, dan pemantauan terhadap perkara itu sedang dilakukan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

"Ada tindakan tertentu akan diambil terhadap penjual peranti, contohnya paparkan nama secara terbuka untuk pengetahuan umum di portal perantisiswa atau maklumkan kepada pihak universiti,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi di sini hari ini.

Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia adalah inisiatif Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM), bertujuan membantu proses pembelajaran mahasiswa Institut Pengajian Tinggi yang berada dalam kelompok B40.

Semalam, tular di media sosial mengenai tindakan mahasiswa menjual PerantiSiswa jenis Samsung Galaxy Tab A8 LTE bersama beberapa aksesori yang diperoleh, dengan harga lebih murah daripada harga pasaran.

Annuar berkata tindakan menjual semula peranti itu adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan kerajaan memandang serius perkara itu.

Beliau berkata peranti yang diedarkan, mempunyai beberapa aplikasi tertentu yang mampu mengesan keberadaan peranti itu sama ada di universiti atau lokasi lain.

"Peranti ini ada keupayaan untuk buat ‘tracking’ siapa pemilik yang telah jual dan ada beberapa peranti telah disekat penggunaannya,” katanya.

Beliau berkata tindakan menjual peranti itu sama seperti melanggar ‘akujanji’ untuk menggunakan peranti tersebut bagi kegunaan sendiri, seperti yang ditandatangani mereka ketika menerima peranti tersebut.


"Perbuatan ini diharap dapat dihentikan segera... saya zahir rasa terkilan dan dukacita, kerana penerima PerantiSiswa menjualnya secara terbuka secara dalam talian... saya fikir ia tindakan tidak wajar,” katanya.

Annuar berkata K-KOM bersedia mengkaji pelaksanaan 'buy back policy' bagi penerima PerantiSiswa untuk menjual peranti mereka, sekiranya mereka tidak mahu menggunakan peranti itu lagi.

"Mereka yang tidak mahu guna, mungkin ada kaedah ‘buy back’ yang sesuai sesuai selepas setahun... saya akan minta kaji kaedah berbanding jual peranti itu dengan harga murah... ia tindakan tidak baik,” katanya.

Sementara itu, Annuar berkata pihaknya komited untuk terus mengagihkan peranti di bawah Program PerantiSiswa Keluarga Malaysia kepada pemohon yang diluluskan dengan segera, meski pun wujud kes penjualan semula peranti itu oleh segelintir pihak.

"Saya telah letakkan sasaran untuk agihkan PerantiSiswa yang diluluskan sebelum 31 November ini. Pengedaran tetap disegerakan dan akan terus berjalan kerana kes-kes penjualan peranti ini adalah kecil,” katanya.

Setakat 18 Oktober lepas, sebanyak 474,311 permohonan untuk PerantiSiswa Keluarga Malaysia diterima melibatkan 95,882 bagi fasa pertama dan 378,429 untuk fasa kedua.

 - Bernama