PETALING JAYA – Pelakon Lana Nodin berhabis hampir RM166,000 bagi melakukan pembedahan kosmetik mencantikkan hidungnya di Seoul, Korea Selatan baru-baru ini.
Katanya, harga tersebut agak tinggi memandangkan dia memilih prosedur tanpa rasa sakit, selain menggunakan tulang rusuk sendiri menggantikan silikon dan plastik bagi membentuk tulang hidungnya.
“Kenapa tulang rusuk? Sebab tak nak berulang kali buat dan kalau apa-apa terjadi kepada saya, suami tak perlu buka dan buang plastik itu sebab saya guna tulang sendiri. Ini kira kekal.
“Ini kali keempat saya buat pembedahan. Ini yang terakhir. Saya dah tak mahu buat lagi sebab setiap kali guna silikon dan plastik akan ada jangkitan.
“Kos keseluruhan sekitar RM166,000 untuk pembedahan kali ke empat ini juga agak mahal sebab saya buat langsung tak sakit dan tiada darah terkeluar dari hidung.
“Esok (hari ini) saya akan buka benang. Sebab apa buat hidung? Saya pernah terlibat dalam kemalangan masa umur 19 tahun,” katanya menerusi siaran lansung dalam nstagram, malam tadi.
Pelakon Suamiku Lelaki Pendosa itu melayani pertanyaan pengikut laman sosialnya termasuk mengenai keadaan dirinya selepas pembedahan.
Semalam, keterbukaan pemilik nama Mazlina Hasan Nordin, 42, bercerita mengenai pembedahan hidungnya dalam laman sosial memancing perhatian ramai.
Dalam perkongsian sama, ibu kepada dua anak itu bertegas, motif pembedahan kecantikan itu dilakukan bukan mahu mengubah bentuk asal wajahnya. Lana malah mengakui terlebih dahulu meminta keizinan daripada suaminya, David McKienzie serta ahli keluarga yang lain sebelum meneruskan rawatan.
“Kalau ubah untuk merawat, tak kisah. Sebab itu, arwah ayah, mak dan adik-beradik okey sebab mereka dah tahu. Tiba-tiba saya nak ubah, memang mak saya akan mengamuk.
“Kalau saya seorang yang suka buat pembedahan kosmetik, bibir dah tak macam sekarang. Jangan terlalu mahu kecam, saya tahu saya bukan artis kegemaran awak semua,” katanya lagi.
– KOSMO! ONLINE