Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Pertemuan tertutup Zahid dengan 40 Adun Johor malam ini



Johor Bahru: Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengadakan pertemuan tertutup bersama kesemua 40 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) negeri, malam ini.

Pertemuan tertutup itu diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi di Saujana dijadualkan bermula 9 malam ini.

Kenderaan rasmi Ahmad Zahid dilihat memasuki pekarangan kediaman rasmi Menteri Besar jam 8.16 malam tadi.

Difahamkan kesemua pemimpin utama Umno Johor selain 40 Adun sudah berada di kediaman rasmi sejak jam 8 malam tadi.

Turut dijadualkan hadir ke pertemuan tertutup itu adalah Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian dan Pengerusi Umno Johor Datuk Seri Hasni Mohammad.


Menurut sumber Umno Johor, agenda utama pertemuan tertutup itu adalah untuk membincangkan pembahagian tugas jentera negeri bagi berhadapan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.

"Presiden juga dijangka mengingatkan kesemua 40 Adun yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor supaya tidak selesa dan terus meningkatkan perkhidmatan.

"Ia berikutan PRU-15 adalah padang permainan yang lebih besar dengan segala isu tidak dijangka akan menjadi peluru berbahaya," katanya ketika dihubungi.

Jumaat lalu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno membuat ketetapan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 diadakan tahun ini.

Setiausaha Agung Umno dilaporkan berkata, susulan keputusan itu, Perdana Menteri akan mempersembahkan cadangan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Perkara 40(1) Perlembagaan Persekutuan.

-HarianMetro