Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Pihak pendakwaan beri amaran kepada peguam Najib, hakim tunggu penjelasan


BICARA 1MDB: Timbalan Pendakwa Raya Gopal Sri Ram memberi amaran kepada peguam bela Najib Razak, Muhammad Shafee Abdullah supaya tidak menjalankan perbicaraan di media berhubung kes rasuah 1MDB bekas perdana menteri itu.

Sri Ram berkata bahawa sidang media oleh Shafee semalam menyamai serangan terhadap pihak pendakwaan berhubung pertuduhan bahawa pihak pendakwa telah menindas keterangan dalam kes berkenaan.

“Dengan segala hormatnya, tertuduh mesti menjalankan perbicaraan di mahkamah dan bukan di luar di khalayak ramai.

"Kami diletakkan dalam kedudukan sukar yang kami tidak boleh menjawab secara terbuka," katanya kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, sambil menambah bahawa jika pihak pembelaan terus melakukan perkara itu, maka pihak pendakwaan akan memohon untuk menghalang mereka.

“Semua surat yang dirujuk pembelaan sudah dikemukakan pada perbicaraan SRC International Sdn Bhd dan ia adalah surat sama yang ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi (ketika itu), Mohd Nazlan Mohd Ghazali, “ katanya.

Peguambela bersama Najib, Wan Aizuddin Wan Mohammed kemudiannya berkata bahawa Shafee akan menghadiri prosiding esok untuk memberi maklum balas kepada pihak pendakwaan.

Aizuddin berkata peguam bela utama itu tidak dapat menghadiri perbicaraan hari ini kerana tidak sihat.


Hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah kemudian berkata mahkamah akan menunggu sehingga esok untuk Shafee datang dan memberikan jawapannya dalam perkara itu.

Prosiding kemudian disambung dengan Aizuddin melakukan pemeriksaan balasnya terhadap saksi pendakwaan ke-38 R Uma Devi, yang adalah pengurus cawangan AmBank di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.

Perbicaraan 1MDB dijadualkan bersambung esok dan Khamis ini.

Semalam semasa sidang media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Shafee membuat dakwaan bahwa terdapat surat dari Arab Saudi yang kononnya menjanjikan derma kepada Najib antara 2011 dan 2012.

Dalam taklimat media yang sama, peguam itu juga mengumumkan bahawa mereka sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang untuk membenarkan tertuduh selaku ahli Parlimen Pekan menghadiri sidang Dewan Rakyat, meskipun dilarang oleh Jabatan Penjara.

-MalaysiaKini