Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Polis siasat lelaki pijak hiasan kolam Deepavali


Rakaman video memaparkan seorang lelaki merosakkan hiasan kolam Deepavali di sebuah hospital swasta tular di media sosial hari ini dan membangkitkan kemarahan ramai, yang rata-ratanya menyifatkannya sebagai tindakan biadab.

Polis juga telah melancarkan siasatan terhadap kejadian itu.

Dalam rakaman berdurasi 39 saat di TikTok itu, seorang lelaki yang berbaju Melayu dilihat berjalan di atas hiasan itu dan menggunakan hujung kasutnya untuk merosakkan hiasan tersebut.

Ia mengundang perhatian ramai yang mengecam tindakannya, termasuk seorang lelaki yang memuat naik video di TikTok untuk menggesanya memohon maaf secara terbuka.

"Jika anda tak muat naik video mohon maaf, kami akan cari anda," katanya.

Ketua Polis Daerah Klang Utara S Vijaya Rao dalam kenyataan hari ini berkata polis telah menerima laporan berkenaan kejadian itu dan kes itu diklasifikasikan di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Seksyen itu berkenaan kesalahan dengan sengaja memudaratkan atau cuba memudaratkan keadaan harmoni atau perpaduan.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun.

"Suspek dalam kes ini akan dipanggil untuk memberi keterangan di IPD Klang Utara," katanya.

Sementara itu, KPJ Healthcare berkata mereka maklum dengan rakaman itu dan sedang menyiasat dakwaan ia melibatkan salah seorang kakitangannya.


"KPJ Healthcare tidak membiarkan sebarang tindakan tidak hormat di kalangan kakitangan dan didalam kawasan mana-mana hospitalnya.

"Kami telah melancarkan siasatan dalaman terhadap video itu dan tindakan tegas akan diambil jika ia melibatkan kakitangan kami.

"KPJ Healthcare komited terhadap profesionalisme tahap tertinggi dan kami tidak akan berkompromi dalam soal nilai etika," katanya dalam kenyataan.

-Malaysiakini