BANGKOK – Seorang remaja lelaki dari wilayah Sakhon Nakhon, Thailand jatuh cinta pada wanita yang juga jirannya yang kini berusia 56 tahun, lapor laman Coconut News semalam.
Wuthichai Chantaraj, 19, mula mengenali Janla Namuangrak semasa berusia 10 tahun apabila sering membantunya mengemas rumah.
Dalam tempoh 10 tahun berkenalan, Wuthichai akhirnya meluahkan perasaan kepada Janla yang merupakan seorang janda anak tiga dan cintanya mendapat balasan positif.
Wuthichai berkata ini adalah kali pertama dalam hidupnya di mana dia mahu memastikan seseorang itu hidup dengan selesa.
Dia menambah bahawa Janla yang kini bergelar tunangannya ialah seorang wanita yang rajin dan jujur.
“Saya melihat rumahnya yang buruk dan mendapati diri saya mula mengambil berat untuk memastikan kehidupan dia lebih baik daripada sekarang.
“Saya sangat mengagumi semangatnya hidup sendirian selepas berpisah dengan bekas suami hampir 20 tahun lalu,” kata Wuthichai.
Janla pula berkongsi bahawa cinta remaja itu membuatkan dia berasa muda semula.
“Wuthichai bagaikan adi wira bagi saya. Semasa kecil, dia sering membantu saya membersihkan kawasan rumah.
“Apabila dia besar, kami mula ada perasaan antara satu sama lain dan tidak menyangka hubungan ini akan berubah menjadi pasangan suami isteri tidak lama lagi,” ujarnya.
Menurut Janla, semasa mereka mengumumkan hubungan cinta mereka kepada keluarga dan rakan-rakan pada awal tahun ini, hampir kesemuanya melabelkan pasangan ini sebagai gila.
– Agensi