Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Respon Zahid positif PBM sertai BN, tunggu kenyataan rasmi -Zuraida


SEGAMAT: Parti Bangsa Malaysia (PBM) masih menunggu ‘lampu hijau’ daripada Barisan Nasional (BN) untuk menjadi sebahagian daripada parti komponen gabungan itu.

Presidennya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, beliau sudah mendapat respons yang positif daripada Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sendiri.

“(Semuanya) berjalan dengan lancar... kita masih belum terima kenyataan rasmi lagi tetapi setakat ini PBM mendapat respons yang positif daripada pengerusi (BN) sendiri.

“Cuma ada beberapa perkara lain yang harus diteliti yang mana mungkin selepas bubar (Parlimen) nanti, dia (Ahmad Zahid) akan beri kenyataan rasmi agaknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas penyerahan cek sumbangan infrastruktur tokong penganut agama Budha dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pada siri Jelajah Jom Reset Segamat di Kampung Abdullah, di sini pada Isnin.


Pada siri jelajah yang turut disertai Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr Edmund Santhara itu, pihaknya turut menyampaikan sumbangan dua enjin bot kepada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat serta sumbangan bot fiber bagi kegunaan pasukan media kepada Pejabat Penerangan Daerah Segamat sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, PBM menyasarkan untuk mengekalkan enam kerusi yang disandang oleh Ahli Parlimen yang bersama parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

"PRU ini kita tidak akan tambah (kerusi). Sekarang ini kita ada enam Ahli Parlimen dan semua ini akan kekal bertanding untuk mempertahankan kerusi yang dimenangi,” ujarnya.

-Awani