Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Tuduh Umno lakukan provokasi, MB Johor desak Syed Saddiq segera mohon maaf


PETALING JAYA: Onn Hafiz Ghazi menuntut Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman secara terbuka meminta maaf kepada ahli Umno dan Barisan Nasional (BN) kerana memfitnah parti itu mencetuskan kekecohan ketika beliau berucap di Muar, Ahad lalu.

Pengarah operasi pilihan raya umum (PRU) BN Johor itu, berkata tuduhan melampau Syed Saddiq itu sengaja mahu menyemarakkan perasaan benci rakyat terhadap Umno dan gabungan itu, menjelang PRU15.

“Dalam ucapannya di Muar, beliau secara melulu tanpa usul periksa, apatah lagi bukti dan saksi, memfitnah Umno dan BN mencetuskan kekecohan di ceramah tersebut.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan melampau Syed Saddiq yang seolah-olah ingin memberikan imej buruk kepada Umno dan BN. Syed Saddiq perlu bertanggungjawab atas tuduhan melulu dan provokasi demi menyemarakkan perasaan benci rakyat terhadap Umno dan BN,” katanya di Facebook.


Beliau yang juga menteri besar Johor, berkata politik tidak matang perlu dihentikan segera bagi menjamin kestabilan dan kemakmuran dikecapi.

“Hentikan politik tidak matang! Saya mendesak beliau untuk meminta maaf daripada orang Umno dan BN secara terbuka dengan kadar yang segera!”

Pada ceramah mega Muar yang menghimpunkan pemimpin Muda dan Pakatan Harapan (PH), kekecohan bermula apabila Syed Saddiq, yang juga penyandang Parlimen Muar, sedang berucap sebagai penceramah terakhir.

Beberapa orang anak muda berkumpul di luar khemah ceramah dan berkali-kali menjerit memanggil Syed Saddiq “penipu”.

Keadaan tegang itu kemudian dileraikan oleh anggota polis yang bertugas mengawasi ceramah berkenaan.

Syed Saddiq kemudian berkata kepada peserta ceramah: “Saya tak tahu mereka nak kejar siapa. Kita dekat sini nak berucap, saya tak kacau pun Umno langsung. Saya tak cakap pun nama Umno, mereka yang panas.”

Semalam, Pemuda Umno Johor membuat laporan polis terhadap Syed Saddiq dan Muda kerana memfitnah mereka.

Ketuanya, Mohd Helmy Abd Latif, berkata mustahil pihaknya terlibat kerana keseluruhan jentera Pemuda Umno Muar terlibat secara langsung dalam mesyuarat perwakilan dan pelancaran jentera pilihan raya pada hari sama.



-FMT