Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

MB Perak ulas penarikan diri Ustaz Kazim di Larut


IPOH: Barisan Nasional (BN) Perak mendakwa tiada maklumat berhubung keputusan pendakwah bebas, Datuk Mohd. Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz Kazim menarik diri pada saat akhir daripada bertanding mewakili BN di Parlimen Larut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ini kerana setakat petang semalam, pendakwah itu sudah bersetuju untuk dicalonkan.

Menurutnya,  malah nama Mohd. Kazim  sudah diumumkan oleh Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi pada majlis pengumuman di Kuala Lumpur malam tadi.

Beliau berkata, watikah sebagai calon BN di Parlimen Larut untuk Mohd. Kazim juga sudah disediakan.

“Saya tidak tak ada maklumat atau jawapan bagi alasan mengapa beliau menarik diri.

“Semalam saya berada di Pejabat UMNO (negeri), lebih kurang pukul 1 pagi, saya mendapat maklumat beliau menarik diri (sebagai calon), itu sahaja yang saya tahu. 

“Alasannya mengapa, itu kena tanya dia,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pengumuman calon BN Perak di sini hari ini.

Terdahulu, Saarani mengumumkan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Larut, Mohd. Shafiq Fhadly Mahmud sebagai calon baharu BN di Parlimen Larut.


Sepatutnya, Mohd Kazim bakal berhadapan calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Hamzah Zainudin di Larut.

Sebelum ini, Mohd Kazim pernah menolak pelantikan sebagai anggota Majlis Tertinggi UMNO pada Disember 2013.

Parlimen Larut merangkumi tiga DUN iaitu DUN Selama, Kubu Gajah dan Batu Kurau.

Pada PRU14, Hamzah menang Parlimen Larut atas tiket BN sebelum keluar parti itu untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu). –UTUSAN