PETALING JAYA: Badan pemantau pilihan raya, Bersih, menggesa supaya tindakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memakai jaket yang memaparkan logo parti itu ketika mengundi disiasat oleh pihak berkuasa.
Pengerusi Bersih, Thomas Fann berkata, tindakan tersebut adalah jelas satu kesalahan pilihan raya untuk memakai apa-apa pakaian menunjukkan simbol atau logo parti ke dalam pusat mengundi.
“Mengikut Seksyen 26(1)(g) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, pengundi tidak dibenarkan memakai, memegang atau membawa sebarang bentuk pakaian atau barangan yang memaparkan nama calon, lambang atau simbol mana-mana parti politik semasa mengundi atau dalam lingkungan 50 meter dari pusat mengundi.
“Sesiapa yang melanggar peraturan itu boleh dihukum penjara sehingga satu tahun, denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan,” katanya seperti dilaporkan FMT.
Tambahnya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan polis perlu menyiasat tindakan Abdul Hadi dan mengambil tindakan.
Gambar Abdul Hadi mengundi di sebuah pusat mengundi sambil memakai jaket hijau yang tertera logo Pas tular di media sosial.
Beliau yang juga calon Pas Parlimen Marang hadir mengundi di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Susila, Marang hari ini.
Marang menyaksikan pertandingan empat penjuru antara penyandangnya, Abdul Hadi mewakili Pas yang ditentang calon Barisan Nasional (BN), Jasmira Othman; Pakatan Harapan (PH), Azhar Ab. Shukur dan Pejuang Tanah Air (Pejuang), Dr. Zarawi Sulong.
– UTUSAN