Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Tunku Putera Johor terlibat dalam kemalangan perlumbaan GT


JOHOR BAHRU - Tunku Putera Johor, Tunku Abu Bakar Sultan Ibrahim terlibat dalam kemalangan semasa pusingan kelayakan GT World Challenge Australia apabila kereta dipandunya terbabas dan terbalik di litar Mount Panorama, Bathurst, New South Wales, Australia, pada Sabtu.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menerusi Facebook rasmi milik baginda memaklumkan, Tunku Abu Bakar tidak mengalami sebarang kecederaan dan menzahirkan rasa syukur serta memberikan kata semangat kepada anakandanya itu.

"Saya bersyukur Tunku Putera tidak cedera. Pastinya tengah terkejut, tetapi dia ok. Saya memberitahunya untuk terus kuatkan semangat, teruskan usaha dan harumkan nama Johor.

"Dia hampir melayakkan diri di tempat ketiga untuk perlumbaan esok, dan ia adalah penampilan pertama Tunku Abu Bakar di litar itu. Dia dan Tunku Panglima, Tunku Abdul Rahman menunjukkan potensi serta persembahan yang baik.

"Semoga kita mendapat keputusan yang baik esok," titah baginda.

Menerusi hantaran itu, baginda bertitah, pemanduan lebih 200 kilometer sejam melalui bahagian McPhillamy Park litar itu menyebabkan Tunku Abu Bakar hilang kawalan dan terbabas ke penghadang tayar sebelum kereta Mercedez Benz GT3 yang dipandunya terbalik.


"Orang ramai menarik nafas lega sejurus melihat YAM Tunku Abu Bakar berjaya mengeluarkan diri dari kereta dan menunjukkan tanda 'peace' kepada penonton sebelum menaiki kenderaan kakitangan litar dan perubatan," titah baginda.

Titah Sultan Ibrahim, disebabkan insiden dan kerosakan yang dialami, putera bongsu baginda itu dan rakan sepasukan, Jamie Whincup terpaksa menarik diri daripada saingan perlumbaan 'endurance' tiga jam pada Ahad.

Sementara Tunku Abdul Rahman bersama rakan sepasukan Broc Feeney akan meneruskan cabaran JMR Triple Eight Race Engineering, bermula dari petak kedua grid.