Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

'Hakim terkhilaf bebaskan Ahmad Zahid' -Pendakwaan


KUALA LUMPUR: Pendakwaan menyatakan ia terkilan dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam melepas dan membebaskan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, daripada 40 tuduhan menerima suapan daripada syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Ia berkata demikian melalui petisyen rayuan difailkan semalam, untuk mengetepikan keputusan pada 22 September lalu, berhubung kontrak pengendali Perkhidmatan One Stop Centre (OSC) di China dan sistem Visa Luar Negara (VLN).

Pihak pendakwaan mengemukakan 14 alasan yang tertumpu kepada dapatan fakta dan undang-undang oleh Hakim Datuk Mohd Yazid Mustafa, terhadap persoalan sama ada berlakunya pemberian dan penerimaan wang secara rasuah dalam kes terbabit.

Pendakwaan menegaskan, Mohd Yazid terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang apabila memutuskan ia gagal membuktikan kes prima facie.

Hakim itu juga dikatakan gagal menilai secara maksimum dan menyeluruh keterangan bagi membuktikan setiap elemen kesalahan yang dihadapi Timbalan Perdana Menteri itu.

Menurut pendakwaan, hakim bicara terkhilaf apabila menolak pembuktian elemen menerima suapan secara rasuah dan elemen mendapatkan benda berharga tanpa balasan daripada UKSB, sedangkan terdapat keterangan lisan dan dokumen yang cukup serta kukuh untuk membuktikannya.

Dalam menolak keterangan mengenai penghantaran wang rasuah kepada Ahmad Zahid, pendakwaan berkata, hakim tersalah arah apabila membuat perbandingan fakta antara kes itu dan fakta dalam kes rasuah berhubung projek solar hibrid bagi sekolah luar bandar di Sarawak membabitkan Datin Seri Rosmah Mansor.

Pendakwaan menyatakan, ia adalah kerana suatu dapatan fakta bukan duluan yang mengikat (binding precedent) dan tidak wajar untuk diguna pakai sebagai otoriti.

Pendakwaan juga menyatakan, hakim tersalah arah dalam menilai kredibiliti saksi apabila gagal mengambil kira bahawa mereka tiada motif jahat atau terselindung ketika memberikan keterangan mengenai penghantaran wang kepada Ahmad Zahid.

"Hakim terkhilaf apabila menolak bulat-bulat keterangan saksi, yang bukan sahaja atas alasan yang rapuh dan tidak munasabah, malah mengambil kira keterangan yang tidak relevan, tidak pernah dikemukakan serta membuat rumusan berdasarkan keraguan yang diada-adakan.

"Hakim juga terkhilaf apabila gagal untuk mengambil manfaat dan kelebihan sebagai hakim bicara ketika melihat dan mendengar saksi pendakwaan memberikan keterangan;

"Hakim tersalah arah apabila gagal mengambil kira keterangan saksi pendakwaan bahawa sebuah lejer yang dikemukakan sebagai keterangan dokumen adalah satu dokumen semasa dan menolaknya secara total walaupun ada keterangan mencukupi untuk membuktikan sebaliknya," katanya.

Sehubungan itu, pendakwaan memohon Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi dan memerintahkan Ahmad Zahid dipanggil membela diri terhadap semua pertuduhan.

-BHonline