KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ke-41 kes penyewelengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Joanna Yu Ging Ping terus menyambung sesi soal balas dengan pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Razak di Mahkamah Tinggi hari ini.
Mahkamah hari ini diperdengarkan bagaimana peguam yang mengetuai pasukan pembelaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tentang ‘keakraban’ dan hubungan bekas Pengurus Perhubungan Ambank itu dengan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low.
Untuk makluman, Joanna juga merupakan antara pegawai Ambank yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga akaun peribadi bekas perdana menteri itu.
Soal Muhammad Shafee, berdasarkan perbualan dalam Blackberry Messenger (BBM), Joanna pernah menawarkan diri memasak sup untuk ketika Jho Low sakit.
Shafee: Anda sangat rapat dengan Jho Low? Beliau jadi sangat rapat dari pelanggan kepada kawan akrab?
Joanna: Saya tidak bolehlah kata tidak rapat, kita tidak boleh panggil pelanggan kita sebagai musuh, kita anggap semua pelanggan seperti kawan. Setiap kali saya ke apartmen beliau adalah berkaitan hutang Jho Low dengan kami. Selalunya Jho Low enggan jumpa kami (pegawai Ambank).
Shafee: Pernahkah ketika Jho Low sakit anda tawar diri untuk masak sup untuknya?
Joanna: Ya, saya pernah tanya ‘jika anda mahu’ saya masak sup’. Tapi saya tidak masak. Jika ada orang sakit, kita memang akan tawar sedemikian.
Shafee: Tidak ada langsung seorang pun pegawai bank yang mahu masak sup untuk saya (sambil ketawa). Saya duduk bertentangan dengan bank saya.
Joanna: Mungkin ini adalah perasaan seorang ibu. Saya tidak ada apa-apa niat, hanya mahu bantu itu sahaja.
Ketika itu, hakim bicara, Datuk Seri Collin Lawrence Sequerah mencelah dan bertanya kepada Muhammad Shafee apakah sebenarnya objektif beliau bertanyakan soalan-soalan seperti itu.
Namun jawab Muhammad Shafee, objektifnya ialah mengaitkan situasi seperti itu menyebabkan perkara-perkara tidak berobjektif terjadi dalam kes penyewelengan dana 1MDB.
Muhammad Shafee kemudian bertanya lagi, adakah Joanna sengaja membenarkan Jho Low menjadi rapat dengannya sehingga dirinya ‘hilang objektif’ namun saksi berkenaan menafikannya.
Minggu lepas, Joanna mendedahkan dirinya sangat rapat dengan Jho Low dan sering berkunjung ke apartmen lelaki dalam buruan itu di Jalan Kia Peng, Ampang beberapa kali.
Turut hadir ke kediamaan Jho Low ialah beberapa lagi pegawai Ambank selain beberapa rakan perniagaan rapat lelaki itu.
Prosiding akan bersambung esok pagi.
Najib sedang berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukannya menerima suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.
-MalaysiaGazette