SAO PAULO: Legenda bola sepak dunia Pele meninggal dunia pada usia 82 tahun.
Pemain kebangsaan Brazil itu antara atlet terhebat dan terkenal dalam sejarah moden.
Hospital Albert Einstein di Sao Paulo, di mana Pele sedang menjalani rawatan, mengumumkan bintang bola sepak terkemuka dunia itu meninggal dunia pada jam 3.27 petang.
"Mendiang meninggal dunia disebabkan pelbagai kegagalan organ akibat daripada penularan kanser kolon yang dikaitkan dengan situasi perubatannya sebelum ini," menurut kenyataan itu.
Pemergian satu-satunya pemain bola sepak yang memenangi Piala Dunia sebanyak tiga kali itu disahkan di akaun Instagramnya.
"Inspirasi dan kasih sayang mewarnai perjalanan King Pele, yang meninggal dunia hari ini," menurut catatan di media sosial itu.
Berita pemergian Pele menerima ucapan takziah dan penghormatan dari seluruh dunia.
Pele telah menjalani kemoterapi sejak pembedahan mengeluarkan tumor dari kolon pada September 2021.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, beliau mengalami beberapa masalah kesihatan, termasuk berkaitan tulang belakang, pinggul, lutut, dan buah pinggang.
Dianggap sebagai pemain bola sepak terhebat, Pele merupakan satu-satunya pemain yang memenangi Piala Dunia sebanyak tiga kali dan menjulang trofi itu pada 1958, 1962 dan 1970.
Dia menjaringkan 77 gol dalam 92 perlawanan untuk negaranya.
video:
-Awani