PETALING JAYA: Pasukan bomba dan penyelamat mengambil masa lebih sejam untuk membawa naik mayat seorang wanita yang tersangkut pada belebas tiang tingkat 20 sebuah kondominium dekat Damansara Perdana, di sini hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis, berkata, laporan kejadian diterima pukul 8.09 pagi sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Damansara ke lokasi.
Katanya, anggota bomba menggunakan teknik penyelamatan dengan tali untuk menaikkan mangsa.
“Mangsa yang dilihat tidak sedarkan diri dibawa masuk ke dalam bangunan melalui tingkap di tingkat 20 sebelum disahkan sudah meninggal dunia.
“Tugas penyelamatan selesai sepenuhnya pada pukul 10.55 pagi dan mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan seterusnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Punca sebenar mayat wanita itu tersangkut di situ masih dalam siasatan.
– UTUSAN