Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Bekas MD Ambank bertemu BNM, sahkan dana ke akaun Najib tiada masalah -Joanna


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa tidak timbul sebarang curiga apabila terdapat transaksi wang masuk melibatkan jutaan ringgit ke dalam akaun Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2011 dan 2012 kerana akaun itu milik Perdana Menteri ketika itu.

Bekas Pengurus Perhubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping, 51, berkata, beliau dan pihak atasannya tidak mensyaki dana itu daripada sumber haram kerana pemegang akaun adalah Najib.

Saksi pendakwaan ke-41 itu berkata demikian ketika disoal peguam utama Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada perbicaraan bekas Perdana Menteri itu membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Muhammad Shafee: Kamu berurusan dengan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low. Berurusan dengan Nik Faisal Ariff Kamil (bekas ketua pegawai pelaburan 1MDB). Kamu tidak syak wang itu datang dari sumber haram?

Yu: Itu akaun Perdana Menteri (Najib). Saya percaya orang atasan semua menyedarinya.

Muhammad Shafee: Baik kamu mahupun pegawai kamu tidak ada sedikit pun syak wasangka bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan wang itu.

Yu: Kami akan melaporkannya. Pada pemahaman saya, pengarah urusan AmBank ketika itu, Cheah Tek Kuang, telah bertemu dengan pegawai Bank Negara Malaysia (BNM). Kami menerimanya kerana ia tidak menyalahi undang-undang.

Saksi itu kemudian bersetuju dengan peguam bahawa jika terdapat sebarang syak wasangka, BNM akan dimaklumkan dengan segera.

"Saya dimaklumkan bahawa tujuan wang dikreditkan ke dalam akaun Datuk Seri (Najib) adalah tujuan derma atau hadiah peribadi," katanya.

Muhammad Shafee kemudian beralih ke akaun Najib, menyoal Yu mengenai siapa yang mencadangkan bahawa Najib mahu membuka akaun dengan AmBank.

Saksi itu berkata, Jho Low memberitahunya bahawa Najib mahu membuka akaun dengan AmBank dan beliau terkejut apabila mendengarnya.


Muhammad Shafee: Kamu tidak terfikir PM (Najib) perlu (buka akaun) dengan AmBank? Adakah bank teruk sehingga kamu tidak menjangkakannya?

Yu: Tidak, tetapi saya tidak ingat apa-apa urusan saya. Mereka (ahli politik) biasanya menggunakan CIMB atau Maybank.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. 

- BERNAMA