Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Permohonan peguam Ebit Lew halang media lapor perkataan sensitif ditolak mahkamah


PETALING JAYA: Mahkamah Majistret Tenom di Sabah tidak melayan permohonan peguam Ebit Lew untuk mengeluarkan perintah larangan kepada media daripada melaporkan perkataan sensitif sepanjang prosiding kes pendakwah terkenal itu.

Harian Metro melaporkan mahkamah berbuat demikian berdasarkan hujahan kedua-dua pihak.

Timbalan Pendakwa Raya, Zahida Zakaria dipetik akhbar itu berkata, pihak pendakwaan turut membantah permohonan dikemukakan peguam Ram Singh itu.

Katanya, pihak pendakwaan sependapat dengan mahkamah bahawa media mempunyai hak melaporkannya.

“Kes dibicarakan dalam mahkamah awam dan bukti diberikan di dalam mahkamah awam. Media tidak boleh bersifat selektif dalam memilih atau memutuskan perkara yang sensitif kepada tertuduh atau pengadu.

“Oleh itu, kami tidak bersetuju dengan permintaan itu,” katanya sebelum memulakan pemeriksaan balas terhadap saksi ketiga, Firdaus Wong.


Pada 18 Feb lalu, Ebit didakwa atas 11 pertuduhan termasuk mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 41 tahun di daerah Tenom, Sabah.

Tertuduh antara lain didakwa menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp, antara Mac dan Jun tahun lalu.

Mahkamah sebelum ini membenarkan Ebit diikat jamin RM1,000 bagi setiap pertuduhan selepas mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, dia berdepan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

-FMT