KUALA LUMPUR: PN tidak akan mendedahkan senarai penyumbang dana kepada parti tersebut, kata salah seorang pemimpin gabungan berkenaan hari ini.
Timbalan Ketua Pemuda PN, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata sebaliknya mereka sentiasa terbuka untuk membahaskan rang undang-undang pembiayaan politik di parlimen.
Kenyataan ahli parlimen Machang itu dibuat ketika PN digambarkan sebagai mungkin menerima dana daripada syarikat pengendali judi menjelang PRU ke-15 lalu.
Dakwaan itu - yang dibuat Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 5 Dis lalu - sudah dinafikan beberapa pemimpin PN.
Bahkan parti itu mendesak Anwar atau kerajaan mengemukakan bukti atas dakwaan berkenaan atau berdepan tindakan undang-undang.
“Kami tidak akan mendedahkan senarai itu.
"Tak ada parti politik yang berbuat demikian (membentangkan senarai dana yang diterima) sebelum ini,” kata Wan Ahmad Fayhsal.
Menurutnya lagi mendedahkan kepada awam senarai penyumbang dana itu bukanlah amalan mana-mana parti politik.
Terdahulu ketua Pemuda Bersatu itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi dengan menamakan Anwar sebagai pihak yang perlu disiasat selepas membuat dakwaan terhadap PN.
-Malaysiakini