KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi membantu siasatan berhubung kes penggunaan senjata api tanpa lesen serta kebenaran, yang videonya dimuat naik di media sosial.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Supt Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, wanita berusia 28 tahun itu ditahan bersama rakannya, seorang lelaki berumur 41 tahun di Petaling Jaya, Selangor, kira-kira 10.20 malam tadi.
Beliau berkata, tangkapan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan 6.53 petang semalam, berhubung kejadian seorang warga tempatan memuat naik klip melakukan latihan menembak tanpa kebenaran di Lapang Sasar Kelab Menembak Selangor di media sosial.
Katanya, video itu dimuat naik oleh wanita itu di dua platform media sosial miliknya iaitu TikTok dan Instagram.
"Polis turut merampas sepucuk pistol jenis Glock 19, satu kelopak peluru jenis Glock, 12 butir peluru hidup, kad Persatuan Menembak Selangor dan telefon bimbit bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Ku Mashariman berkata, kedua-dua individu itu ditahan reman empat hari sehingga 11 Dis ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8(A), 8(B) dan 41 Akta Senjata 1960 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
- BERNAMA