Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

PU Azman didakwa lagi kes kelucahan melampau dengan remaja 19 tahun


KLANG - PU Azman yang lebih dikenali sebagai Cik Man didakwa di dua mahkamah berasingan di sini pada Rabu, atas empat pertuduhan melakukan amang seksual dan kelucahan melampau terhadap tiga remaja lelaki berusia 17 dan 19 tahun pada Februari serta Jun lalu.

Azman, 41, nama sebenar, Azman Syah Alias mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibaca di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said dan Majistret Amirul Asyraf Abd Rasid.

Di Mahkamah Sesyen, dia didakwa atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia 17 tahun bagi tujuan seksual dalam bilik sebuah rumah inap desa di Sungai Udang di sini pada 20 Februari dan 29 Jun lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara selama 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa atas satu lagi pertuduhan, menggalakkan seorang kanak-kanak lelaki 17 tahun, untuk berkomunikasi secara seksual melalui aplikasi WhatsApp di sebuah rumah di Kampung Meru di sini pada 16 Ogos lalu.

Dia boleh dihukum bawah Seksyen 11(1)(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tiga tahun.

Di Mahkamah Majistret pula, dia didakwa atas satu pertuduhan iaitu melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap remaja lelaki berusia 19 tahun di sebuah rumah di Jalan Sungai Bertek di sini pada 10 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Qistini Qamarul Abrar dan Azman Syah diwakili peguam Fahmi Adilah dan Mohamad Zahid Ahmad.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM24,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan.


Dia juga dikehendaki memenuhi syarat tambahan iaitu tidak mengganggu mangsa, keluarga dan saksi pendakwaan, serta melaporkan diri di balai polis berhampiran pada sekali sebulan.

Sebutan semula bagi kesemua kes ditetapkan pada 12 Januari tahun depan.

Pada 12 Oktober lalu, Sinar Harian melaporkan, Azman dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban, atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki, Februari dan Julai lalu.

-Sinar