Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

RUU mansuh hukuman mati mandatori akan dibentang di Parlimen


Kerajaan dijangka membentangkan rang undang-undang (RUU) untuk memansuhkan hukuman mati mandatori ketika sidang Parlimen Februari depan, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.

Azalina berkata cadangan hukuman gantian bagi hukuman itu telah diteliti dan dibincangkan dalam mesyuarat kabinet hari ini.

Dia berkata pelaksanaan cadangan hukuman gantian itu adalah komitmen kerajaan untuk memastikan pelaksanaan pemansuhan hukuman mati mandatori diteliti secara mendalam dan terperinci dari semua aspek.

Ia agar sebarang tindakan susulan kerajaan berkaitan isu ini memberikan impak yang positif kepada negara, katanya dalam kenyataan hari ini.

"Sistem keadilan jenayah adalah asas utama bagi masyarakat yang selamat dan aman.

"Oleh itu, Kerajaan juga akan mempertimbangkan kajian susulan Fasa 2 yang melibatkan pembaharuan sistem keadilan jenayah seperti dasar penghukuman (sentencing policy) yang lebih berkesan, hukuman sebatan dan pembaharuan sistem penjara yang merangkumi langkah-langkah untuk mengurangkan kesesakan penjara.

"Fokus juga akan diberi terhadap pendekatan hukuman yang berteraskan pemulihan dan keadilan restoratif," katanya lagi.

Budi bicara mahkamah

Azalina berkata Jabatan Peguam Negara telah meneliti pelaksanaan dasar untuk cadangan hukuman gantian yang melibatkan 11 kesalahan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Senjata Api Lebih Berat 1971.

Katanya lagi, ia juga melibatkan 23 kesalahan, yang membawa hukuman mati namun tertakluk di bawah budi bicara mahkamah, di bawah Kanun Keseksaan, Akta Senjata 1960, Akta Senjata Api Lebih Berat 1971 dan Akta Penculikan 1961," katanya.

Katanya lagi, kerajaan juga bersetuju untuk meminda akta-akta berkaitan dan mengemukakan beberapa RUU, iaitu RUU Kanun Keseksaan (Pindaan) 2022, RUU Kanun Tatacara Jenayah (Pindaan) 2022, RUU Keadilan Jenayah (Pindaan) 2022, RUU Penculikan (Pindaan) 2022, RUU Senjata Api (Penalti Lebih Berat) (Pindaan) 2022, RUU Senjata (Pindaan) 2022 dan RUU Dadah Berbahaya (Pindaan) 2022.

Dia juga menegaskan hukuman mati tidak dimansuhkan secara sepenuhnya, tetapi mahkamah diberi budi bicara untuk memutuskan hukuman yang setimpal berdasarkan fakta kes.


Pelaksanaan hukuman gantian ini dijangka memberi kesan langsung kepada 1,327 banduan yang telah dijatuhkan hukuman mati, katanya.

"Manakala bagi lain-lain individu yang belum dituduh, hukuman gantian terhadap hukuman mati boleh dikuatkuasakan secara prospektif," katanya.

Pada Jun lalu, Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika menjadi menteri undang-undang berkata kerajaan setuju untuk memansuhkan hukuman mati mandatori, setelah dia membentangkan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori dalam mesyuarat kabinet.

-FMT