Presiden parti MUDA, Syed Saddiq Abdul Rahman mendedahkan bahawa dia bertemu dengan pemimpin Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin.
Anggota parlimen Muar itu berkata pertemuan berlangsung selama dua jam, tetapi tidak mendedahkan butiran lanjut perbincangan.
“Walaupun berada dalam parti yang berlainan, hormat saya kepada Tan Sri Muhyiddin tetap kekal.
“Hormat kawan dan lawan. Dua jam berbual, catching up on life after elections.
“Tan Sri Muhyiddin juga pengundi saya di Muar. Jasanya banyak,” katanya.
Menulis di media sosialnya sebentar tadi, Syed Saddiq turut mengajak ke arah pembinaan semula Malaysia dengan maruah dan integriti.
Tanpa mengulas lanjut, dia juga menegaskan dia adalah seorang penyokong tegar prinsip dwipartisan.
“Untuk Malaysia jadi negara maju, perlu ada keberanian untuk berkhidmat merentasi sempadan politik,” katanya.
Syed Saddiq pernah menjadi ketua Pemuda Bersatu pimpinan Muhyiddin sebelum ini.
Dalam pilihan raya umum bulan lepas Muda memilih Pakatan Harapan pimpinan Anwar Ibrahim sebagai sekutunya.
Bagaimanapun tidak ada sebarang jawatan kabinet diberikan kepada pemimpun Muda ketika Anwar membentuk jemaah menterinya, minggu lalu.
sumber: Malaysiakini