AHLI Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim mencuri tumpuan pada sidang Dewan Rakyat hari ini, apabila menegur mereka yang tidak memakai tali leher ke parlimen hanya diamalkan di Singapura dan Israel.
Sindiran spontan beliau setelah terdapat wakil rakyat yang mahukan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul memberi panduan etika berpakaian kaedah baharu setelah beliau membenarkan para ahli parlimen tidak mengenakan tali leher hari ini.
Hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan sebahagian besar ahli parlimen kerajaan tidak memakai tali leher.
Sebelum itu, Johari mencelah dengan berkata, banyak negara Arab membenarkan tali leher tidak dipakai ketika persidangan Parlimen.
“Speaker dan kami semua (Perikatan Nasional) tertib (kerana memakai tali leher), puak-puak ini saya tak tahu.
“Jadi saya minta Yang Berhormat (Speaker), tolong buat perbandingan sedikit,” kata Shahidan.
Terdahulu, M Kulasegaran (PH-Ipoh Barat) memuji Johari kerana membuat keputusan membenarkan MP tidak memakai tali leher ketika persidangan Parlimen.
Beliau meminta supaya kebenaran itu diteruskan dalam sidang Parlimen akan datang.
-Sinar