Kuantan: Sembilan perwakilan Wanita dan Puteri Umno mengalami kecederaan selepas kenderaan dinaiki terbabit kemalangan di Kilometer 240.6 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah timur, petang semalam.
Kejadian berlaku jam 5.50 petang ketika mereka dalam perjalanan pulang ke Kemaman, Terengganu selepas menghadiri Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa berusia antara 21 tahun hingga 68 tahun.
"Siasatan awal mendapati, van jenis Toyota Hiace dipandu lelaki berusia 37 tahun membawa sembilan penumpang wanita dari arah Kuala Lumpur ke Kemaman.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta berada di hadapan brek mengejut menyebabkan van terbabit hilang kawalan sebelum terbabas," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Katanya, akibat kemalangan, kesemua mangsa mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, untuk rawatan lanjut.
"Lima daripada mangsa termasuk pemandu dirawat di Zon Hijau manakala empat lagi penumpang dirawat di Zon Kuning.
"Hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku di atas kecuaian pemandu van terbabit kerana tidak dapat mengawal kenderaan semasa memandu dan menyebabkan kemalangan berlaku," katanya.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
-Hmetro