PETALING JAYA – Pelakon dan pengacara Datuk AC Mizal secara tegas berkata, dia membenci individu yang menjatuhkan maruah orang lain di hadapan umum semata-mata untuk meraih kontroversi terutama dalam rancangan realiti televisyen.
Bagi AC Mizal, 52, perbuatan bergurau dan makian ada caranya, namun tidak seharusnya berlaku dalam rancangan realiti televisyen apatah lagi di depan khalayak umum.
“Bergurau dan maki orang lain di hadapan umum ada tahapnya. Nasib baik bukan saya yang kena.
“Saya sudah berada dalam industri selama 33 tahun dan saya benci orang yang menjatuhkan maruah orang lain hanya untuk hiburan,” kata pemilik nama sebenar Datuk Mizal Datuk Zaini.
Begitupun, dia menyifatkan tiada insan sempurna yang harus diajar dengan cara ‘kasar’ sebaliknya perlu menghargai usaha yang telah dilakukan untuk menjayakan sesebuah perkara.
“Setiap usaha harus dihargai. Kelemahan bagi anda mungkin adalah kekuatan mereka. Mendidik bukan mengherdik.
“Mengajar lebih baik dari menunjuk kepandaian. Tiada orang yang sempurna,” ujarnya.
Berang dengan nasib yang menimpa penyanyi Sissy Imann tempoh hari dalam rancangan realiti nyanyian Famili Duo, AC Mizal meminta individu yang sering menjatuhkan maruah orang untuk menghasilkan rancangan sendiri.
“Memang sekarang wajib jatuhkan maruah orang di kaca televisyenkah? Tidak fikir perasaan orang? Anda terlalu sempurna?
“Jangan bagi alasan dah tanggungjawab kena komen. Kalau mahu tular sampai jatuhkan maruah orang baik buat rancangan ‘Ayuh Maki Orang’,” tutur pelakon filem Cicakman itu.
Sebelum ini, nama Mas Idayu memanas selepas memberi kritikan ‘membunuh’ kepada Sissy dan Naim Daniel yang dikatakan gagal mempamerkan persembahan memberangsangkan pada minggu keenam program tersebut.
Akibat insiden terbabit, Sissy membatalkan pelancaran album sulung yang sepatutnya berlangsung pada bulan hadapan selepas hilang rasa teruja susulan kritikan diterima dalam pertandingan tersebut.
– KOSMO! ONLINE