SHAH ALAM: Penyanyi, Fyna Jebat, 29, menoktahkan segala spekulasi apabila mengakui telah bernikah dengan bekas pengendali Penang FC dan Melaka United, Datuk Zainal Abidin Hassan, 61.
Fyna atau nama sebenar, Nur Syafinaz Jebat membuat pengakuan itu ketika ditemui selepas beraksi dalam program realiti, Family Duo, di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, di sini, malam tadi, namun menolak untuk berkongsi lebih lanjut mengenai pernikahannya.
“Alhamdulillah, saya telah bernikah. Terima kasih banyak kepada anda yang memberi komen yang baik.
“Saya harap anda mendoakan saya dan keluarga. Doakan juga perjuangan saya dan kakak, Ayda Jebat dalam Family Duo,” katanya.
Khabar angin pernikahan penyanyi tersebut dengan bekas pemain skuad kebangsaan itu bertiup kencang beberapa hari lalu, selain turut menjadi bualan hangat netizen di media sosial.
Terdahulu, media melaporkan bekas jurulatih Liga Super berusia lingkungan 60-an telah berkahwin buat kali kedua dengan wanita berumur 29 tahun.
Wanita yang dinikahinya itu dikhabarkan seorang artis yang juga adik kepada pelakon dan penyanyi terkenal.
Kata Fyna, dia berharap orang ramai menghormati keputusannya untuk tidak berkongsi lanjut berkenaan perkara itu dan memohon doa untuk kebaikan keluarga.
“Saya mohon maaf kerana tidak dapat berkongsi lebih lanjut tentang perkara ini untuk memastikan saya dapat memberi sepenuh tumpuan kepada program ini,” ujarnya.
Sementara itu, Ayda ketika mengulas tentang pernikahan adiknya itu bersyukur apabila perkara tersebut dapat dikongsi kepada umum.
“Tidak ada lagi yang dapat diperkatakan setakat ini. Saya berbangga kerana dia akhirnya berkongsi perkara ini dengan semua,” katanya.
-Utusan