KUALA LUMPUR: Produser terkenal, Datuk Yusof Haslam mendakwa hanya tahu anaknya, Syamsul Yusof sudah bernikah dengan Ira Kazar di Thailand, hari ini, selepas dimakluemkan seorang rakan.
Yusof mendakwa, tidak tahu menahu mengenai pernikahan Syamsul dengan isteri keduanya itu, namun, yakin anaknya sudah cukup dewasa untuk menentukan baik dan buruk sesuatu perkara.
Bagaimanapun, Yusof kesal dengan tindakan Syamsul yang menyembunyikan perkara itu terlalu lama serta tidak berterus terang daripada awal tercetusnya kemelut rumah tangga denyan menantunya, Puteri Sarah Liyana.
"Sebagai bapa, saya hanya mampu mendoakan yang terbaik untuk anak dan menantu saya, Sarah.
"Saya yakin mana-mana ibu bapa akan melakukan perkara serupa.
"Cuma, saya sedikit kesal kenapa dia simpan rahsia itu terlalu lama sampai empat tahun? Kenapa tidak berterus terang dari awal kepada isterinya?
"Jadi, tidaklah dia menyeksa hati dan perasaan Sarah serta melukakan hati banyak orang.
"Saya tidak boleh cakap apa lagi kerana benda (pernikahan) pun sudah berlaku. Bagi saya, jika dia berterus terang lebih awal, masalah dapat diselesaikan dengan cepat.
"Tidaklah berpanjangan diperkatakan masyarakat, sehinggakan Sarah menjadi mangsa kutukan apabila dikatakan cuba membuka aib suami," katanya kepada BH Online.
Sebagai bapa, Yusof hanya mampu mendoakan yang terbaik untuk anak dan menantu, Sarah.
Sebagai bapa, Yusof hanya mampu mendoakan yang terbaik untuk anak dan menantu, Sarah.
Walau apapun berlaku, Yusof berkata, sebagai bapa, dia tidak pernah berdendam terhadap anaknya, malah, sebesar zarah sekali pun dia tidak akan membenci atau memboikot Syamsul.
"Saya perlu terima kerana ini soal qada dan qadar dari Allah. Cuma, saya berharap Sarah tabah dalam menghadapi ujian ini.
"Bagi saya, Sarah ada hak untuk buat apa yang dirasakan betul kerana sebagai isteri, dia yang menanggung perit getir itu.
"Namun, saya ingin berpesan kepada Syamsul agar dia tidak lupa tanggungjawabnya sebagai bapa kepada dua anaknya.
"Seandainya terjadi sesuatu kepada rumah tangga dia dan Sarah, saya mohon dia tetap jalankan tanggungjawab memberi nafkah," katanya.