Isu Semasa

[Isu Semasa][bleft]

Hiburan

[Hiburan][bsummary]

Dunia

[Dunia][twocolumns]

Lima ADUN BN isytihar sokong Hajiji, kecam Bung Moktar



Lima Adun Umno Sabah yang menolak menuruti langkah menarik sokongan daripada Hajiji Noor hari ini mengecam langkah pengerusi mereka, Bung Moktar Radin, yang menarik sokongan kepada kerajaan negeri.

Kata mereka, tindakan tersebut sangat dikesali kerana ia menyebabkan rakyat Sabah sekali lagi diheret ke dalam krisis politik oleh “pihak yang tidak bertanggungjawab.”

Menurut Adun terbabit, mereka yakin sekarang bukanlah masa untuk merebut kuasa politik, sebaliknya bersatu agar kerajaan dan semua pihak dapat menumpukan masa, tenaga dan sumber bagi memulih dan memajukan taraf hidup rakyat.

“Kami dikejutkan oleh tindakan beberapa pihak tertentu khususnya Pengerusi Umno Negeri Sabah yang berusaha menjatuhkan kerajaan Sabah yang sah.

“Sesungguhnya kami mengecam sekeras-kerasnya tindakan tersebut,” kata mereka.

Lima Adun yang membuat kenyataan bersama itu ialah Shahelmey Yahya (Tanjung Keramat), Jasnih Daya (Pantai Dalit), James Ratib (Sugut), Yusuf Yacob (Sindumin) dan Mohd Arsad Bistari (Tempasuk).

Bagaimanapun untuk rekod, terdahulu mereka mengeluarkan kenyataan awal yang lebih kurang sama, namun mendesak agar Bung Moktar meletak jawatan serta-merta.

Kenyataan tersebut ditarik balik tidak lama kemudian.

Semalam Bung Moktar - yang juga pengerusi BN Sabah - mengejutkan orang ramai apabila mengumumkan parti itu menarik balik sokongan mereka terhadap Hajiji sebagai ketua menteri Sabah, sekali gus menarik diri daripada kerajaan negeri.

Bung Moktar mendakwa keputusan berkenaan diambil secara sebulat suara.

Antara lain Bung Moktar berkata langkah tersebut diambil kerana Hajiji melanggar persefahaman politik dengan BN Sabah sebelum ini.

“Ini jelas, di mana Hajiji telah melanggar persefahaman tersebut di mana hari ini dia mengeluarkan surat penamatan jawatan Salleh Keruak selaku pengerusi Khazanah Nasional.


“Hajiji juga mengugut kita dengan reshuffle (rombakan) kabinet tanpa berbincang dan tanpa berunding," katanya.

Bagaimanapun lima Adun Umno terbabit tidak hadir dalam mesyuarat berkenaan.

Menurut Adun berkenaan mereka yakin sekarang bukan masanya untuk merebut kuasa politik, sebaliknya bersatu agar kerajaan negeri dan semua pihak dapat memberi tumpuan masa, tenaga dan sumber untuk negeri dan rakyat.

"Kami dengan ini mengisytiharkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Hajiji sebagai ketua menteri yang sah di sisi perlembagaan," kata mereka.

-Malaysiakini