PASIR MAS – Mayat seorang wanita warga Thailand dijumpai dalam keadaan berulat di belakang sebuah kedai dobi di Kampung Gual Tinggi, Rantau Panjang di sini kelmarin.
Mangsa yang dikenali sebagai Rusnani Satapo, 42, yang sudah kembung ditemui oleh seorang pelajar sekolah kira-kira pukul 2 petang ketika melalui kawasan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, mayat wanita itu ditemui kira-kira 20 meter di belakang premis tersebut.
Menurutnya, seorang saksi wanita berusia 24 tahun memaklumkan bahawa dia melihat dan bertemu mangsa menunggang motosikal dan berhenti di kedai dobi itu kira-kira pukul 11 pagi pada Isnin lalu.
“Wanita itu pada awalnya mengadu pening kepala selepas menerima rawatan di sebuah hospital di Golok, Thailand. Saksi itu sempat memberikan kerusi kepada mangsa untuk duduk.
“Tiga hari kemudian, mayat wanita itu dijumpai oleh seorang pelajar berhampiran kawasan tersebut. Siasatan di lokasi kejadian turut menemui sebuah telefon bimbit berhampiran mayat wanita itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Mohd. Nasarudin, tiada sebarang objek atau senjata yang ditemui di lokasi terbabit dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Pasir Mas di sini untuk dibedah siasat selain kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Katanya, hasil temubual dengan suami kepada saksi kejadian memaklumkan, mangsa sebelum ini dipercayai ditempatkan di wad sebuah hospital di Golok selama tiga minggu selepas air tulang belakangnya diambil untuk dianalisis.
video tempat kejadian:
– KOSMO! ONLINE